SANDARAN negara dalam acara beregu lelaki di masa hadapan, tampak cerah apabila gandingan muda negara mula menghasilkan keputusan di kejohanan senior.

Ini berikutan gandingan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King muncul naib juara Masters Sepanyol di Madrid manakala Aaron Tai-Kang Khai Xing muncul juara di Cabaran Antarabangsa Thailand di Nakhon Ratchasima, semalam.

Beraksi dalam final pertama mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF sejak digandingkan pada Mac tahun lalu, Wan Arif-Roy King mempamerkan persembahan bertenaga ketika tewas kepada lawan dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 21-18, 17-21, 21-19 pada aksi di Centro Deportivo Municipal Gallur.

Prestasi Wan Arif Junaidi-Yap Roy King ketika muncul naib juara di Madrid, dianggap baik memandangkan hanya menyertai kejohanan kedua sejak Roy King pulih dari kecederaan.

Wan Arif-Roy King, kini di ranking ke-65 dunia, pernah menjuarai Cabaran Antarabangsa Nantes di Perancis, tahun lalu.

Meskipun gagal merangkul gelaran sulung dalam saingan Jelajah Dunia BWF, namun prestasi mereka boleh dianggap baik selepas Madrid menjadi penampilan kedua mereka sejak Roy King pulih dari kecederaan.

“Ini adalah kejohanan kedua saya tahun ini sejak mengalami kecederaan. Sudah tentu ini meningkatkan lagi tahap keyakinan kami untuk bersaing dengan pemain dalam kejohanan Super 300 atau yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding kami.

Semoga pemain beregu lelaki negara terus menyinar.

“Diharapkan apabila saya kembali ke sini pada masa akan datang, saya boleh merangkul gelaran juara,” kata Roy King yang dipetik menerusi SPOTV Malaysia.

Sementara itu, Wan Arif ketika mengulas mengenai aksi final itu, berkata kesilapan di empat mata akhir ketika kedudukan terikat 17-17 di set ketiga membuatkan mereka terpaksa akur dengan kekalahan dalam perlawanan berkenaan.

“Masa hujung set penentuan itu kami tak sabar dan tak yakin dengan apa yang kami buat. Kemudian lepas mendahului lawan, kami tak ‘pegang betul-betul’, itu yang buat (corak permainan) kami jadi berbeza.

“Kami tak berasa kecewa sangat sebab sasaran awal adalah untuk mara ke suku akhir.

“Alhamdulillah kami boleh sampai ke final selepas ambil kira gandingan saya (Roy King) baru sembuh daripada kecederaan,” katanya.

Selain menjadi beregu remaja lelaki nombor satu dunia, Aaron Tai-Kang Khai Xing sudah mula menempa kejayaan dalam kejohanan di peringkat senior pada usia 18 tahun.

Sementara itu, Aaron-Khai Xing, masing-masing berusia 18 tahun, merangkul gelaran pertama mereka di peringkat senior selepas menewaskan pilihan kedua dari Thailand, Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul 21-17, 21-18 pada aksi final Cabaran Antarabangsa Thailand.

Pemain yang masing-masing berusia 18 tahun itu sememangnya dilabel sebagai bintang dalam pembikinan berdasarkan prestasi ditampilkan dalam saingan peringkat remaja.

Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri juga sudah meraih gelaran pertama mereka tahun ini.

Awal bulan lalu, gandingan yang menduduki ranking nombor satu remaja BWF itu, muncul juara Kejohanan Remaja Antarabangsa Belanda sebelum melangkah ke final Kejohanan Remaja Antarabangsa Jerman seminggu selepas itu.

Kemunculan kedua-dua pasangan muda negara berkenaan dilihat mampu mengukuhkan kem skuad beregu lelaki negara yang ketika ini semakin menyinar di pentas antarabangsa diketuai bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Selain Aaron-Wooi Yik, Malaysia turut memiliki tiga lagi gandingan berpotensi iaitu Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian.