PEMAIN sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menzahirkan kesyukuran apabila usaha untuk memastikan JDT membawa pulang tiga mata membuahkan hasil dan impiannya untuk menjaringkan gol di peringkat tertinggi kelab Asia dapat dicapai.
Dia juga menganggap kemenangan itu adalah kerja keras rakan sepasukan yang enggan kecundang buat kali kedua selepas tewas dalam perlawanan pertama kepada Kawasaki Frontale pada perlawanan pembukaan Kumpulan I, Liga Juara-Juara AFC di Iskandar Puteri.
Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia musim 2021 dan 2022 itu muncul wira JDT selepas dua gol yang dihasilkan memastikan kemenangan 4-2 menewaskan kelab dari Thailand, BG Pathum United dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) di Stadium Pathum Thani pada Selasa.
“Alhamdulilah amat bersyukur dengan kemenangan ini kerana perlawanan menentang Pathum United ini amat penting buat saya dan rakan-rakan sepasukan kerana mahukan tiga mata apabila beraksi di gelanggang lawan.
“Kemenangan ini juga membuka ruang buat JDT untuk memburu slot ke pusingan seterusnya walaupun masih jauh tapi ia meningkatkan lagi moral kami bagi meneruskan rentak permainan yang lebih mantap untuk aksi seterusnya,” katanya.
Kelicikan Arif Aiman menjadi igauan ngeri buat skuad kendalian Surachai Jaturapattarapong yang tergamam dengan gol penyamaan pemain berusia 21 tahun pada minit keenam walaupun di awal minit kelima Victor Cordozo menjaringan gol menerusi sepakan penalti sebelum gerakan lincahnya berjaya memberikan gol keempat di babak kedua.
“Amat bersyukur juga kerana menjadi impian buat saya menjaringkan gol dalam perlawanan yang cukup besar terutama di ACL tapi kemampuan saya menjaringkan gol bukan hanya seorang sahaja, sebaliknya rakan sepasukan banyak membantu untuk pastikan kejayaan itu.
“Rakan sepasukan yang bertungkus-lumus dalam perlawanan itu turut memainkan peranan bagi memastikan kemenangan malah saya berterima kasih juga kepada barisan kejurulatihan yang beri kepercayaan penuh buat saya beraksi,” jelasnya.
Dua lagi gol JDT dijaringkan menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-14 sebelum Juan Muniz mencipta gol pada minit ke-53 untuk melenyapkan sisa perjuangan BG Pathum United untuk kemenangan 4-2 buat skuad Harimau Selatan.