UJIAN rasmi telah dijalankan sebelum bermulanya Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.
Jaguh motosikal negara, Azlan Shah Kamaruzaman dari pasukan TKKR BMW Racing Team telah mempamerkan aksi perlumbaan yang cemerlang apabila berjaya menduduki tempat ketiga dalam kategori ASB1000.
Pelumba yang kini menginjak ke usia 40 tahun itu mencatatkan masa selama 35.392 saat di setiap pusingan sekali gus menempatkannya di belakang pelumba tempat pertama, Passawit Thitivararak dari Astemo SI Racing, dengan jurang 0.169 saat.
Ternyata bahawa kepakaran juara pertama ASB1000 di peringkat Asia pada 2019 itu telah menidakkan faktor usia sebagai penghalang, dan terus berikan yang terbaik dalam perlumbaan.
Dalam perkembangan sama, gandingan Malaysia dari Idemitsu Boon Siew Honda Racing, Azroy Hakeem Anour dan Muhammad Helmi Azman yang menyertai kategori SS600, masing masing berjaya menduduki tempat kedua dan ketiga dengan masa 39.119 saat dan 39.672 saat.
Sementara itu, seorang lagi idola permotoran negara, Hafizh Syahrin dari JDT Racing Team nampaknya masih belum bersedia untuk menjalani ujian rasmi ketika itu kerana masalah teknikal yang dihadapi oleh pihaknya.
Kempen ARRC 2024 dijadualkan berlangsung dari 15 hingga 17 Mac sebelum mengakhiri pusingan keenam perlumbaan di litar yang sama, pada 6 hingga 8 Disember 2024.