HAFIZH Syahrin Abdullah meraih kemenangan pertama untuk pasukan JDT Racing Team dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.

Kejayaan ini datang selepas pelumba yang berusia 30 tahun itu berjaya mengatasi perlumbaan pertama pusingan kedua kategori Asia Superbike 1000cc di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, hari ini.

Prestasi ini menunjukkan ketekunan dan kebolehan pasukan serta Hafizh sebagai pelumba yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Sepanjang perlumbaan berlangsung, Hafizh yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R telah menunjukkan kepimpinan dengan mendahului dari pusingan pertama hingga pusingan terakhir, sebelum meraih kemenangan (P1) dengan masa keseluruhan 18 minit dan 47.433 saat.

“Perlumbaan hari ini sangat mencabar, terutamanya di beberapa selekoh terakhir di mana tayar saya mula menjadi tidak stabil. Saya terpaksa lebih tekun dan memberi tumpuan untuk mengawal situasi.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan saya atas kerja keras dan sokongan mereka, dan saya menghadiahkan kemenangan ini kepada anak saya. Esok, kita akan berusaha untuk mencapai kestabilan dan prestasi yang lebih baik,” katanya selepas perlumbaan.

Dia mengatasi pemenang tempat kedua, Andi Farid Izdihar dari pasukan Honda Asia-Dream Racing Astemo, dengan 0.754 saat dan mencatat  1 minit 33.731 saat.

 

Hafizh (tengah), Andi  (kiri) dan Azlan gah naik podium di Litar Antarabangsa Zhuhai di China, hari ini.

Seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang mewakili TKKR BMW Racing Team, berjaya menduduki tempat ketiga dan mencatat rekod pusingan terpantas dalam perlumbaan pertama dengan masa 1 minit 33.389 saat.

Prestasi cemerlang dari pelumba-pelumba tempatan ini sebenarnya menambah lagi seri dan keghairahan dalam saingan ARRC 2024.

Rentak cemerlang ini dijangka dapat diteruskan oleh Hafizh untuk perlumbaan kedua ASB1000 yang berlangsung pada Ahad.

 

Keputusan 5 Terbaik

  1. Hafizh Syahrin Abdullah – JDT RACING TEAM – 20’24:461s
  2. Andi Farid Izdihar – Honda Asia-Dream Racing with Astemo – 20’25:215s
  3. Azlan Shah Kamaruzaman – TKKR BMW Racing Team – 20’27:603s
  4. Yuki Kunii – SDG Team HARC-PRO Honda Ph. – 20’29:980s
  5. Nakarin Atiratphuvapat – Honda Asia-Dream Racing with Astemo – 20’30:139s

ARTIKEL BERKAITAN : ARRC 2024 : Kehadiran mentor kembalikan senyuman Hafizh Syahrin