KEJAYAAN Hafizh Syahrin Abdullah menamatkan perlumbaan di tempat pertama perlumbaan 1 kategori ASB1000 Kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Zhuhai dianggap satu langkah yang cukup besar buat pasukan JDT Racing Team.
Prinsipal Pasukan, Steven Tan mengakui dia sangat gembira dengan kejayaan ini kerana pasukan ini baharu sahaja dibentuk selama tiga bulan dan ianya satu pencapaian yang cukup memuaskan hati.
Dia juga gembira bagi pihak El Pescao dan bapanya kerana mereka berjaya membuktikan kemampuan dirinya sekaligus menepis kritikan yang sering dilemparkan kepadanya sebelum ini.
“Bermula dari kosong dan selepas tiga bulan, untuk berada di tangga teratas podium ianya sangat mengujakan. Tidak ramai yang mampu lakukan perkara sebegini tetapi kami dapat lakukannya dengan sokongan daripada pemilik JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail.
“Kejayaan ini adalah satu langkah yang besar buat pasukan kami. Saya juga gembira kerana Hafizh dan bapanya dapat membuktikan pengkritik mereka silap dengan sokongan, jentera, pasukan dan pemilik yang tepat,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Steven juga turut memastikan Hafizh dan bapanya dapat berkongsi podium dengan mewakilkannya untuk menerima trofi pasukan terbaik untuk menjadikan kemenangan pertama JDT Racing Team ini lebih bermakna.
“Untuk menjadikan kemenangan ini lebih bermakna, saya letakkan bapa Hafizh untuk menerima trofi Pasukan Terbaik bagi memastikan kejayaan sulung pasukan ini sebagai kejayaan bapa dan anak di atas podium.
“Ayahnya berkata dalam penglibatannya selama 30 tahun dalam dunia permotoran, ini kali pertama dia naik ke podium dan membuatnya menangis terharu kerana ianya satu pengalaman yang tidak ternilai.
“JDT menjadi platform untuk menutup mulut pengkritik yang mengatakan karier anaknya sudah berakhir dan saya berkongsi kegembiraan ini bersama-sama mereka berdua,” jelasnya.
Hafizh dan JDT Racing Team mengungguli perlumbaan 13 pusingan itu sejak dari awal hingga tamat dan kini bersedia untuk mengharungi perlumbaan kedua pada Ahad.