PELUMBA JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya mencatat masa terpantas dalam sesi latihan bebas ketiga Kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 sekali gus melaungkan amaran awal untuk menguasai perlumbaan kelas ASB1000 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China.

Selepas agak bergelut pada sesi latihan pertama dan kedua, Hafizh yang menunggang jentera Ducati Panigale V4R mencatatkan masa 1 minit 34.798s mengatasi tujuh lagi pelumba lain menjelang sesi kelayakan pada Sabtu.

Menurut Prinsipal Pasukan, Steven Tan dua perkara dapat dilihat sebagai faktor yang menjadikan El Pescao kembali bersemangat untuk membuktikan kemampuan dirinya yang telah dikongsi bersama-sama FLASH SUKAN. 

Kehadiran Valeriano Rodriguez (kiri) mengembalikan semula senyuman Hafizh Syahrin

Faktor pertama adalah kehadiran Valeriano Rodriguez sebagai Pengarah Teknikal pasukan yang baharu. Dia akan memantau segala aspek teknikal pasukan dengan ketua mekanik dan semua krew akan melaporkan terus kepada Valeriano.

“Kami telah melantik Valeriano Rodriguez sebagai Pengarah Teknikal baharu JDT Racing Team. Dia mempunyai pengalaman selama 33 tahun yang pernah terlibat dalam MotoGP, Moto2 dan WSBK Superbike sekaligus menepati DNA JDT yang diasaskan oleh pemilik, DYAM Tunku Mahkota Ismail,” katanya.

Steven juga menyatakan bahawa Valeriano bukan sahaja bertindak sebagai Pengarah Teknikal tetapi juga adalah mentor kepada Hafizh Syahrin yang telah digilap bakatnya sejak berusia 16 tahun dan perkara ini menjadikan Hafizh berasa selesa dan kembali bersemangat serta tersenyum untuk berlumba.

El Pescao catat masa terpantas sesi latihan bebas ketiga

“Tunku Ismail telah memberikan segala yang terbaik untuk pasukan ini dari segala aspek dan ini yang mengembalikan semula senyuman Hafizh yang kali terakhir kita lihat pada 2017.

“Dia sangat gembira dan tenang ketika ini. Apa yang hanya perlu dia lakukan adalah memberikan persembahan yang terbaik buat Tunku dan pasukan JDT Racing Team dalam setiap perlumbaan.

“Valeriano yang boleh diumpamakan seperti bapa kepada Hafizh di litar datang berjumpa saya dan berkata dia sudah lama tidak melihat Hafizh dalam keadaan sangat gembira dan inilah senyuman yang dia rindui sejak sekian lama,” jelasnya.

Valeriano memantau persiapan jentera Ducati Panigale V4R Hafizh Syahrin 

Hafizh dijangka akan memberikan saingan sengit untuk cuba meraih kemenangan pertama buat JDT Racing Team di Zhuhai sekali gus merapatkan jurang mata di perlumbaan kedua dari lapan pusingan kejuaraan ini.