KEWUJUDAN pasukan JDT Racing Team nyata memberikan impak positif buat kejohanan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 apabila ianya berjaya menarik minat lebih ramai penonton dan juga pehatian daripada pihak media.
Ditunjangi Hafizh Syahrin Abdullah yang sememangnya terkenal dan mempunyai peminat tersendiri dari seluruh negara, JDT Racing Team berjaya mencuri perhatian yang semestinya meningkatkan lagi nilai komersil kejuaraan ini.
Kejayaan Hafizh bermula di petak ketiga perlumbaan pertama kelas ASB1000 itu meskipun tidak dapat menjalani sesi ujian bebas akibat masalah logisitik mendapat perhatian ramai yang kagum dengan kemampuan bekas pelumba MotoGP itu.
Namun hajatnya untuk mencipta kejutan pada debutnya terhalang dengan masalah jentera yang memaksa dia terkeluar dari perlumbaan dan terpaksa menerima pelbagai kritikan terutama dari pengguna media sosial.
Seakan mahu membuktikan kritikan yang salah, Hafizh tampil garang dalam perlumbaan kedua pada Ahad dengan berjaya mendahului sebanyak sembilan pusingan sebelum tayarnya sudah kurang memberikan cengkaman namum berjaya menamatkan saingan di tangga kedua.
Perlumbaan itu turut mendapat perhatian ramai dengan lebih 26,000 tontonan dicatatkan menerusi siaran langsung di YouTube dan puluhan ribu lagi di laman Facebook rasmi kejohanan sekaligus membuktikan kekuatan jenama JDT dan Hafizh Syahrin di seluruh Asia.
Prinsipal Pasukan, Steven Tan mengakui teruja dengan sambutan yang diterima pasukannya di Buriram dan gembira dengan persembahan pasukan meskipun pasukan ini baru sahaja dibentuk.
“Dengan bangganya saya boleh katakan, kami menerima sambutan yang sangat baik dari penganjur, pihak media dan para peminat. Jelas disini, kami telah berjaya meningkatkan minat dalam kejohanan ini dengan jumlah tontonan tertinggi dalam sejarah.
“Pasukan melakukan tugas yang sangat baik walaupun baharu tiga bulan dibentuk. Penerimaan kami ini adalah bukti bahawa ‘TMJ effect’ dan jenama JDT itu sangat besar,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Steven juga teruja melihat bendera Johor berkibar di Litar Antarabangsa Chang dan tidak sabar untuk beraksi di pusingan kedua AARC di Litar Zhuhai, China dari 19 hingga 21 April 2024.