YUKI Kunii dari pasukan SDG HARC-PRO Honda Ph. kembali mempamerkan pacuan yang memukau pada aksi perlumbaan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) sekali gus meraih kemenangan pertamanya di tanah air sendiri.
Sebaik perlumbaan bermula, Sho Nishimura pelumba TKKR Racing Team segera mengambil kedudukan pendahulu dan disusuli dengan kehadiran Yuki yang memberi ancaman sengit untuk mencabar kedudukan Sho.
Yuki akhirnya berjaya memintas pemenang perlumbaan pertama itu dan menyaksikan pelumba pasukan JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah mengekori rapat dari belakang.
Keadaan itu memberi keselesaan kepada Yuki yang giat memburu podium pertama, dan dia terus meningkatkan rentak kecemerlangan dari pusingan ke pusingan, meninggalkan Hafizh dengan jarak lima saat di belakang.
“Secara jujur, saya sangat gembira. Ini adalah kemenangan dan podium pertama saya, dan ia sangat bermakna bagi saya. Saya berhutang budi yang besar kepada pasukan saya.
“Semalam, apabila enjin rosak, ia terasa seperti satu halangan, tetapi mereka bekerja tanpa henti untuk membaiki motosikal, tidak pernah hilang kepercayaan kepada saya.
“Sokongan merekalah yang membawa kami ke sini hari ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih yang mendalam kepada pasukan saya, keluarga saya, dan semua peminat yang mempercayai saya. Kata-kata tidak dapat mengungkapkan rasa terima kasih saya, tetapi terima kasih semua!,” ujarnya ketika tamat perlumbaan kedua.
Yuki akhirnya berjaya mengekalkan posisi terbaiknya dan menduduki tempat teratas podium dengan rekod perlumbaan selama 24’03:081s, disusuli posisi kedua yang disandang oleh Hafizh dengan masa 24’08:208s, manakala Nakarin menyusuli di tempat ketiga dengan catatan masa 24’13:578s.