KESILAPAN mudah, kehilangan bola ketika berada di kedudukan terbaik melakukan try mengundang padah sehingga tewas pada perlawanan penting, menentang Filipina, saingan Ragbi Asia (Siri 1 ARSS 2022) di Bangkok, Thailand, hari ini.
Jurulatih Skuad Ragbi Tujuh Sepasukan (7s), Saizul Hafifi berkata, skuad Bungaraya Lelaki seharusnya memperoleh sekurang-kurangnya empat try pada perlawanan itu sekali gus mengatasi Filipina.
“Kita buat banyak kesilapan, sepatutnya dapat sempurnakan empat try dan sudah melakukan kebangkitan. Dalam perlawanan berintensiti tinggi macam ini lah, pasukan yang kurang melakukan kesilapan pasti menang,” kata Saizul, ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Pada perlawanan itu, skuad negara ketinggalan 0-14 namun dua try dilakukan Harith Iqbal dan Azwan Zuwairi dan dua conversion daripada Azwan membolehkan Malaysia menyamakan kedudukan dengan Filipina.
Filipina bangkit menerusi satu try dan selepas itu skuad negara memperoleh dua peluang melakukan try namun disia-siakan, sekali gus terpaksa akur dengan kekalahan 14-19.
Justeru, Skuad Ragbi 7s Lelaki kebangsaan sekadar menamatkan saingan Ragbi Asia (Siri 1 ARSS 2022) d tempat ketujuh, gagal menepati sasaran berada dalam kelompok enam terbaik.
Begitupun, Saizul berkata, suad negara perlu bangkit dalam dua lagi siri dan berpeluang memperbaiki kedudukan untuk berada dalam enam terbaik Asia, sekali gus mencerahkan peluang layak ke Sukan Asia.