PASUKAN Arsenal bersedia untuk menjual pemain tengahnya, Thomas Partey pada Januari dalam usaha untuk mengumpul dana perpindahan, menurut laporan.
Pengurus kelab, Mikel Arteta bersemangat untuk menambah pemain ke skuadnya dalam usaha memimpin Gunners merangkul gelaran Liga Perdana pertama mereka dalam 20 tahun.
Menandatangani pemain tengah baharu adalah keutamaan utama pelatih Sepanyol itu, dengan seorang penyerang juga termasuk dalam senarai perpindahan.
Namun, untuk melakukan penambahan tersebut, beberapa bintang semasa Arsenal perlu dijual dan ESPN mendakwa Partey berpotensi untuk dipindahkan.
Partey sebelum ini dihadkan kepada hanya empat penampilan di Liga Perdana musim ini kerana kecederaan.
Dia dijangka tidak akan kembali beraksi sehingga Januari, tetapi Arsenal berkemungkinan akan kehilangannya selama sebulan lagi ketika ia bergabung dengan pasukan Ghana untuk Piala Negara-Negara Afrika.
Difahamkan Gunners telah bersedia untuk menjual Partey selepas kehadiran Declan Rice pada Julai. Namun, mereka masih belum menerima tawaran yang sesuai.
Kelab Juventus kini dikhabarkan berminat untuk menandatanganinya. Pegawai kelab dilaporkan telah mengadakan perbincangan dengan wakil pemain berusia 30 tahun itu bulan lepas.
Sasaran utama Arteta buat masa ini adalah Douglas Luiz dari Aston Villa. Arsenal dikatakan cuba merekrutnya musim panas lalu, namun dua tawaran lewat mereka ditolak pada tarikh akhir.
The Gunners juga tertarik untuk menandatangani pemain sayap Wolves, Pedro Neto, yang dilaporkan bernilai £60 juta (RM356.1 juta).
Sementara itu, Ivan Toney kekal sebagai sasaran utama pemindahan. Dia akan kembali beraksi bulan depan setelah tamat penggantungannya kerana melanggar peraturan pertaruhan FA.
Brentford berkemungkinan akan menuntut bayaran yang besar untuk penyerang itu, tetapi pengurus Thomas Frank yakin bahawa dia akan kekal di Stadium Komuniti Gtech.