KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal nampaknya masih belum selesai memperkukuhkan barisan pertahanan mereka meskipun sudah menandatangani pemain seperti Riccardo Calafiori dan melihat Jurrien Timber kembali cergas selepas kecederaan.
Menurut laporan dari media, Arsenal kini bersedia untuk ‘all ou’ bagi mendapatkan pemain remaja Ajax, Jorrel Hato, pada jendela perpindahan 2025.
Hato, yang berusia 18 tahun, adalah salah satu produk cemerlang dari akademi Ajax yang terkenal dengan menghasilkan pemain bertaraf dunia. Arsenal telah memantau perkembangan Hato sepanjang musim panas lepas, dan kini pemain ini masih kekal dalam radar mereka.
Apa yang membuatkan Hato begitu menarik perhatian Arsenal adalah keupayaannya bermain di dua posisi berbeza, bek tengah dan bek kiri.
Ini menjadikannya pilihan sandaran yang fleksibel di belakang pemain-pemain utama seperti Gabriel Magalhaes, Riccardo Calafiori, dan William Saliba. Dengan bakat yang dimiliki, Hato dijangka boleh bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama Arsenal di masa hadapan.
Walaupun barisan pertahanan Arsenal ketika ini dianggap kukuh dengan kehadiran pemain muda berkualiti, ramai penganalisis bola sepak berpendapat bahawa Mikel Arteta perlu memberi tumpuan kepada memperkuatkan bahagian tengah dan serangan pasukan.
Thomas Partey dan Jorginho dijangka akan meninggalkan pasukan apabila kontrak mereka tamat pada akhir musim ini, justeru Arsenal perlu mencari pengganti yang sesuai bagi mengelakkan kekurangan pemain di posisi tersebut.
Selain itu, prestasi Gabriel Jesus yang kurang menyerlah sejak kebelakangan ini turut membangkitkan keperluan untuk Arsenal menambah seorang penyerang utama pada 2025. Memandangkan keutamaan di posisi lain, perpindahan Jorrel Hato mungkin akan ditangguhkan sehingga keperluan mendesak di bahagian tengah dan serangan dipenuhi.
Namun, jika perpindahan ini diteruskan, ia pastinya akan menjadi satu pelaburan jangka panjang bagi Arsenal, memandangkan potensi besar yang dimiliki oleh bintang muda Ajax ini.