PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta, meluahkan kekecewaannya apabila pasukan Gunners kini menghadapi masalah kecederaan berterusan yang menimpa pemain utama, sekaligus memberi kesan kepada impian kejuaraan mereka.
Kegagalan menang menentang Chelsea pada Ahad menyaksikan mereka kini sembilan mata di belakang pendahulu liga, Liverpool, tanpa kemenangan dalam empat perlawanan liga terakhir.
Arteta menggambarkan musim ini sebagai ‘mimpi ngeri’ akibat isu kecederaan yang memaksanya melakukan perubahan besar dalam barisan setiap minggu.
“Semangat pasukan dan keinginan untuk menang memang ada. Tetapi kami perlukan sokongan dari segi kesihatan pemain untuk lebih konsisten.
“Saya hanya berharap selepas rehat antarabangsa nanti, pasukan ini akan kembali cergas sepenuhnya,” luahnya selepas perlawanan menentang Chelsea.
Dia mengakui keletihan pemain-pemainnya yang terpaksa bermain dengan keterbatasan, dan menyatakan betapa perlunya konsistensi dalam prestasi mereka.
Ketika perlawanan di Stamford Bridge, Arteta turut merasai tekanan, sehingga terjatuh akibat kekecewaan apabila Leandro Trossard melepaskan peluang besar di saat-saat akhir.
Masalahnya bertambah buruk apabila Declan Rice dan Bukayo Saka terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan kecil.
Walaupun kecewa dengan keputusan seri menentang Chelsea, Arteta memuji usaha pasukannya yang menunjukkan keberanian selepas ketinggalan.
Perlawanan seterusnya menentang Nottingham Forest pada 23 November ini bakal menjadi ujian buat Arsenal yang masih bergelut dengan kecederaan pemain.