PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta menjadi salah seorang pengendali dengan gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris selepas menandatangani kontrak baharu di Arsenal.

Sebelum ini Arteta dibayar 9 juta pound semusim oleh Arsenal dan kontrak baharunya menyaksikan peningkatan mendadak.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola masih kekal sebagai penerima gaji tertinggi di Liga Perdana Inggeris pada 20 juta pound (RM113.56 juta) semusim, tetapi kenaikan gaji Arteta akan meletakkan bekas pembantunya di Etihad itu tidak jauh dibelakangnya.

“Saya rasa sangat bangga, sangat teruja dan tidak sabar untuk menanti apa yang akan berlaku seterusnya. Saya bangga berada di sini dan mempunyai hubungan baik dengan semua orang di kelab ini.

“Saya amat bertuah dapat bekerja setiap hari dengan mereka yang baik dan bercita-cita tinggi di sini. Saya amat bersemangat untuk melakukan lebih lagi daripada apa yang pernah kami capai bersama-sama.

Mikel Arteta menikmati kontrak lumayan bersama The Gunners. (Sumber Gambar: Arsenal)

“Penyokong-penyokong mengubah kami menjadi individu berbeza. Kami akan meneruskan perjalanan ini bersama-sama,” kata Arteta.

Arteta yang menandatangani kontrak sebelumnya pada tahun 2022, memenangi 139 daripada 235 perlawanan kendaliannya dan membantu mengubah suasana di Emirates.

Pada Mac lalu, Arteta merakam kemenangan ke-100 Liga Perdana Inggeris sebagai pengendali, yang dicapai tujuh perlawanan lebih sedikit berbanding bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger.

Sebagai pemain, pengendali dari Sepanyol itu melakukan 150 penampilan untuk kelab dalam lima musim, dua daripadanya sebagai kapten.

Arsenal menang dua dan seri sekali dalam tiga perlawanan awal musim ini, dan akan berdepan Tottenham pada Ahad dengan Martin Odegaard, Mikel Merino dan Declan Rice tidak dapat diturunkan akibat kecederaan atau penggantungan.