KEM hoki lelaki negara diselubungi suasana sunyi menjelang perlawanan terakhir kumpulan B, menentang China esok, pada saingan Sukan Asia ke-19.
Susulan kekalahan 3-4 kepada Korea Selatan, peluang buat tiga pasukan merebut dua slot ke separuh akhir terbuka luas namun Malaysian Tigers perlu mengatasi pasukan tuan rumah, bagi memastikan pasukan muncul juara kumpulan.
“Harapan kita esok untuk menang, raih tiga mata dan melangkah ke separuh akhir.
“Tetapi kita perlu menunggu perlawanan antara Korea Selatan menentang Oman, untuk kita melihat perbezaan jaringan yang diperlukan untuk berada di kedudukan teratas kumpulan,” kata Arul.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia bertemu China adalah pada saingan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023 yang menyaksikan skuad negara tidak berdepan masalah membenam lawan 5-1.
Bagaimanapun, skuad negara tidak boleh memandang rendah keupayaan tuan rumah apatah lagi mereka mengejutkan Korea Selatan 3-2 sebelum ini.
Sementara itu, pemain veteran, Razie Rahim mengakui rakan sepasukannya tidak lagi boleh melakukan kesilapan seperti ketika mereka tewas 3-4 di tangan Korea Selatan, kelmarin.
“Kita perlu menang perlawanan seterusnya (berdepan China) dan kita akan menonton semula video untuk melihat semula bagaimana kami dibolosi.
“Peluang (ke separuh akhir) tetap ada kerana kita fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Kita tidak boleh buat silap dan perlu tunjukkan permainan yang sempurna berdepan China nanti,” katanya.