MEMBENARKAN lawan membolosi gawang dua kali, ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan, A Arulselvaraj berang.

Biarpun Malaysian Tigers mencapai kemenangan 9-2, dan mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan dalam saingan Sukan Asia ke-19, di Hangzhou, China, kali kedua dibolosi selepas perlawanan menentang Oman ternyata meresahkan Arul.

“Saya tidak puas hati dari segi konsentrasi, teknikal dan setelah kita membenarkan Indonesia menjaringkan dua gol. Saya tidak gembira dan saya akan selesaikannya esok.

“(Banyak pukulan sudut penalti dibazirkan) Saya rasa ada ramai antara kalangan pemain saya, tidak berfikir dengan pantas ataupun tidak cukup untuk bermain dan kelekaan dari sudut persiapan mental semestinya memberi kesan.

Asak… pemain negara memburu gol selepas dikejutkan gol penyamaan Indonesia 1-1 di suku pertama.

“Saya akan cari jalan penyelesaiannya. Saya tidak bimbang langsung mengenai perkara ini tetapi itulah sikap pemain yang akan saya betulkan,” katanya.

Terdahulu, Indonesia menjadi mangsa ketiga skuad negara dengan jaringan besar.

Ini adalah kemenangan ketiga-tiga berturut dilakar anak buah Arul pada kempen kali ini yang menyaksikan mereka berjaya meledak 29 gol dalam tiga aksi pertama namun bolos dua gol.

Ketua jurulatih, A Arulselvaraj tidak bimbang dengan keputusan tetapi tetap mahu mencari punca pemain membenarkan Indonesia menembusi gawang pasukan negara dua kali.

Pada aksi terbabit, Malaysia bermula garang apabila merobek gawang Indonesia seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Ashran Hamsani namun Indonesia mengikat kedudukan di hujung suku pertama menerusi gol padang Ahdan Asasi.

Bagaimanapun, Malaysia kembali mendahului di permulaan suku kedua hasil jaringan Muhammad Firhan Ashari (m17) disusuli pukulan sudut penalti Muhammad Najmi Farizal Jazlan (m19) untuk meletakkan mereka selesa 3-1 sehingga tamat suku kedua.

Barisan penyerang tetap memburu jaringan.

Indonesia terus jauh ketinggalan memasuki suku ketiga apabila Malaysia merobek gawang lawan sebanyak lima kali masing-masing menerusi Faizal Saari (m33), Muhammad Najmi (m35) Shello dan Silverius (m38), Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (m42) dan Razie Rahim (m43).

Apapun terjadi, skuad negara berjaya menghasilkan kemenangan.

Tidak cukup dengan lapan gol, ‘Speedy Tigers’ menambah lagi derita Indonesia apabila Muhammad Aminuddin Mohd Zain menyumbat gol kesembilan menerusi pukulan sudut penalti (m48) sebelum Indonesia mendapat gol kedua menerusi pukulan penalti Aulia Al Ardh (m55).

Selepas ini, Malaysia dijadual bertemu Korea Selatan bagi aksi penting yang dilihat bakal menjadi penentu kepada juara Kumpulan B, Sabtu ini.