PERMAINAN pantas, tempo tinggi dan intensiti tinggi dalam permainan hoki di peringkat dunia menuntut kepelbagaian usaha dalam meningkatkan prestatsi pemain.
Hal itu diakui Ketua Jurulatih Hoki Kebangsaan, A Arul Selvaraj, yang berusaha mencari alternatif terbaik dalam menyediakan latihan berintensiti tinggi.
Dalam masa sama, jurulatih berusia 48 tahun itu berkata, ketajaman ‘IQ’ juga menjadi tuntutan dalam permainan hoki moden.
Ini terbukti, apabila tiada sela masa tertentu dalam permainan hoki apabila permainan dilangsung pantas meskipun ketika mengambil bola keluar padang serta melakukan pukulan percuma.
“Tidak dinafikan ramai pemain kita terdiri daripada pelajar Ijazah Sarjana Muda dan kita memang menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran.
“Namun untuk persediaan ke Piala Dunia tahun hadapan, mungkin saya akan perkenalkan pemain dengan senaman mata ‘Eye Gym’. Ia sejenis permainan untuk senaman mata yang bertujuan meningkatkan kecekapan mata, prestasi pandangan, keupayaan memproses data dan juga kepantasan tindak balas iaitu proses membuat keputusan tepat,” kata Arul.
Menurutnya, beliau sendiri sudah menguji aplikasi terbabit untuk kegunaan diri sendiri bagi mengasah ketajaman berfikir.
Beliau berkata, aplikasi ‘Eye Gym’ pernah digunakan skuad kebangsaan Ireland, iaitu pada zaman dia berada dalam barisan kejurulatihan skuad terbabit.
“Ini adalah perisian luar negara dan penggunaannya adalah berdasarkan langganan (subscription) bulanan. Ketika ini saya gunakan untuk diri sendiri dan sudah kemukakannya kepada Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini dan mereka bersetuju untuk digunakan kepada pemain bagi saingan Sukan Asia lalu. Namun temasya itu dibatalkan, jadi kita belum mencubanya kepada pemain.
“Perisian ini mempunyai 24 jeniss ‘assessment’ (penilaian) dan ada peringkat-peringkat ujian untuk melatih reaksi mata, menguatkan pandangan dan setiap individu perlu bermain Latihan ini selama 10 minit setiap hari. Selepas itu, kitab oleh melihat laporan penilaian yang dikeluarkan perisian terbabit,” katanya, sambil menegaskan ‘Eye Gym’ banyak membantu pemain dalam proses membuat keputusan tepat dan pantas.
Begitupun, Arul enggan mengesahkan bilakah masanya pemain akan didedahkan dengan Latihan ‘Eye Gym’ itu.