MENAMATKAN saingan Sukan Asia ke-19 pada kedudukan keenam, bermakna skuad hoki lelaki negara, mengulangi pencapaian terburuk mereka pada edisi 2006 di Doha.
Sejak 1958, hanya tiga kali skuad negara menamatkan saingan di luar kelompok empat terbaik iaitu 1994, 1998, 2006 dan kini 2022 di Hangzhou.
Ketua jurulatih, A Arulselvaraj bagai hilang kata-kata selepas menyaksikan anak buahnya gagal meraih penamat terbaik pada kempen kali ini apabila tewas 2-5 di tangan Pakistan pada penentuan tempat kelima dan keenam.
Bagai jatuh ditimpa tangga, kegagalan ke separuh akhir meleburkan peluang untuk memastikan slot benua Asia ke Olimpik Paris, kini menamatkan saingan di kedudukan keenam, dipintas empat pasukan yang berada di belakang ranking dunia pasukan negara.
“Persembahan yang mengecewakan kerana dengan pertandingan yang kita pergi, kita lalui proses selama dua tahun, kita tunjukkan kemampuan di Piala Sultan Azlan Shah, Piala Asia dan Trofi Liga Juara Juara Asia (ACT).
“Kekecewaan dan kesalahan ini, kita perlu bertanggungjawab sepenuhnya. Saya sebagai jurulatih dan pemain tidak boleh salahkan sesiapa kecuali diri sendiri pasukan.
“Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) sudah membantu dan memberi apa-apa pertolongan. Jadi kekalahan di sini adalah tanggungjawab saya sebagai jurulatih dan juga pemain,” kata Arul.
Terdahulu, Malaysia tewas 2-5 di tangan Pakistan pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Gongshu Canal Park, sebentar tadi.
Ini satu pasti bakal menjadi satu kisah menyedihkan buat skuad hoki lelaki negara terutama selepas mengambil kira reputasi dimiliki mereka di benua ini apatah lagi mereka adalah pasukan nombor dua Asia.