KETUA Jurulatih skuad hoki kebangsaan, A. Arul Selvaraj tidak mahu memikirkan tentang kecederaan yang menimpa tiga pemainnya sebaliknya hanya fokus kepada proses pemilihan 20 pemain ke Piala Dunia Hoki 2023.
Arul turut menegaskan bahawa persiapan pasukan ke Piala Dunia sudah mencukupi kerana telah menghadapi terlalu banyak perlawanan dan kejohanan dalam tempoh yang pendek.
Selain itu Arul turut menganggap perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Belanda dianggap sebagai satu lawan yang baik dan dia juga mahukan lebih banyak perlawanan menentang pasukan gergasi Eropah pada masa akan datang.
“Saya tidak mahu memikirkan tentang kecederaan pemain sebaliknya fokus saya kini hanyalah untuk membuat pemilihan 20 pemain yang paling cergas dari segi fizikal untuk dibawa ke Piala Dunia dengan kesemua 25 pemain yang ada mempunyai minit permainan yang sama.
“Persiapan pasukan sangat baik kerana kita sudah beraksi banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat. Apabila tiba di India, kami akan adakan satu perlawanan persahabatan dengan Sepanyol sebagai persiapan terakhir.
“Kami akan umumkan senarai akhir 20 pemain sebelum 31 Disember dan perlawanan pembukaan menentang Belanda adalah penting kerana ianya akan menjadi medan terbaik untuk mengetahui tahap sebenar pasukan ini dan peluang kita untuk layak dari peringkat kumpulan sangat cerah.
“Kami banyak mengharungi perlawanan menentang pasukan dari Asia dan kami perlukan lebih banyak perlawanan menentang gergasi Eropah dan Australia untuk meningkatkan lagi intensiti permainan kami selepas ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Menghargai Skuad Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita
Skuad Speedy Tigers telah diundi dalam Kumpulan C bersama Belanda, Chile dan New Zealand pada Piala Dunia nanti dan KHM meletakkan sasaran untuk layak dari peringkat kumpulan.