SPEEDY Tigers akan mengharungi kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2023, dengan matlamat persiapan ke Sukan Asia.

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, A Arulselvaraj berkata, semua yang dilakukan ketika ini dianggap sebagai persiapan pasukan ke temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, China yang akan berlangsungpada 23 September hingga 8 Oktober depan.

“Sepatutnya ketika ini, pemain hoki negara berada di Eropah, dalam siri jelajah persahabatan antarabangsa di sana, tetapi apabila ada ACT, kita fokus kepada ACT di Chennai, India, yang akan berlangsung 3 hingga 12 Ogos.

“Apa yang saya mahukan sepanjang di Chennai adalah, pemain mendapat perlawanan pendedahan yang baik dan pulang ke tanahair tanpa masalah kekcederaan,” kata Arul, dalam sidang media di pejabat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Bukit Jalil.

Sidang media pengumuman 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan ke kejohanan Trofi Juara-Juara Asia, Chennai, India 3–12 Ogos.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Datuk  Najmi Razak yang mengumumkan senarai 20 pemain ke Chennai, selain Pengurus Pasukan Kebangsaan Dato’ Mirnawan Nawawi dan Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Nishel Kumar.

Ujar Arul, saingan ACT bakal mencabar fizikal pemain yang perlu mengharungi tujuh perlawanan termasuk final, dalam tempoh 10 hari pertandingan.

“Ketika ini, latihan menjurus ke arah kemungkinan yang perlu dihadapi pemain dengan jarak perlawanan pertama dan kedua hanya 22 jam, perlawanan ketiga dan keempat pula dibezakan dengan tempoh 17 jam dan pemain yang kita senaraikan kali ini yang cukup cergas dan mempunyai kadar recovery yang pantas.

“Tambahan pula, meskipun jadual perlawanan diatur pada lewat petang, suhu waktu perlawanan dijangka mencecah sekitar 32 hingga 35 darjah selsius.”

Amirul Hamizan Azahar turut tersenarai memperkuat pasukan ke ACT 2023.

Terdahulu, senarai 18+2 pemain ke ACT 2023 itu diumumkan Najmi membariskan nama-nama bintang seperti Faizal dan Fitri Saari, Firhan Ashaari, Faiz Helmi Jali, Razie Rahim, Najmi Farizal Jazlan dan Shello Silverius.

Pada ACT 2023, skuad negara akan berentap menentang Pakistan, China, India, Jepun dan Korea Selatan menerusi format round robin.

 

Berikut merupakan senarai 20 pemain Skuad Senior Lelaki Kebangsaan yang bakal beraksi di Kejohanan Hoki Hero Trofi Juara-Juara Asia, Chennai, India, 2023.

NO NAMA POSISI
1 MUHAMMAD HAFIZUDDIN OTHMAN PENJAGA GOL
2 MOHD ZAIMI MAT DERIS PENJAGA GOL
3 MUHAMMAD RAZIE ABD RAHIM PERTAHANAN
4 MUHAMMAD MARHAN MOHD JALIL PERTAHANAN
5 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN PERTAHANAN
6 MUHAMMAD AMINUDDIN MOHD ZAIN PERTAHANAN
7 MUHAMMAD SYAFIQ HASSAN PERTAHANAN
8 MUHAJIR ABDU RAUF PERTAHANAN
9 MUHAMMAD NAJIB ABU HASSAN PERTAHANAN
10 MUHAMMAD AMIRUL HAMIZAN AZAHAR PERTAHANAN
11 FAIZ HELMI JALI TENGAH
12 MEOR MUHAMMAD AZUAN HASSAN TENGAH
13 SHELLO SILVERIUS TENGAH
14 MUHAMMAD AZRAI AIZAD ABU KAMAL TENGAH
15 ABDUL KHALIQ HAMIRIN TENGAH
16 MUHAMMAD FIRHAN ASHAARI PENYERANG
17 FAIZAL SAARI PENYERANG
18 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI PENYERANG
19 MUHAMAD RAMADAN ROSLI PENYERANG
20 MOHD FITRI SAARI PENYERANG

 

NO HARI / TARIKH MASA

(WAKTU MALAYSIA)

PERLAWANAN
1 KHAMIS / 3 OGOS 20:45 MALAYSIA lwn PAKISTAN
2 JUMAAT / 4 OGOS 20:45 CHINA lwn MALAYSIA
3 AHAD / 6 OGOS 23:00 MALAYSIA lwn INDIA
4 ISNIN / 7 OGOS 18:30 JEPUN lwn MALAYSIA
5 RABU / 9 OGOS 20:45 MALAYSIA lwn KOREA