BANYAK peluang terhidang tetapi gagal diterjemahkan, menjadi punca kegagalan skuad hoki lelaki negara, gagal memenangi perlawanan terakhir kumpulan A, kelayakan Olimpik Paris di Muscat, Oman, awal pagi tadi.
Ketua jurulatih, A.Arulselvaraj berkata, Speedy Tigers yang mengharapkan peluang terakhir menerusi kemenangan besar ke atas Pakistan namun mensia-siakan peluang menjaringkan gol.
“Sememangnya kecewa, memang kita kawal permainan dengan banyak, peluang jaringan banyak tetapi tak dapat nak laksanakan.
“Terlalu banyak peluang untuk menjaringkan gol terutama sewaktu berdepan China dan juga Pakistan.
“Kalau peluang sedemikian tak dapat nak jaringkan, jadi memang susah untuk mencatat kemenangan,” kata Arul, mengulas mengenai peluang skuad negara ke Paris 2024, yang kini terkubur.
Malaysia tewas mengejut 2-3 kepada China sebelum tunduk kepada Great Britain 1-4, meletakkan pasukan dalam situasi genting ketika menentang Pakistan.
Arul ketika dihubungi berkata, biarpun peluang ke Olimpik sudah tertutup, tugas pasukan belum selesai dan perlu menghabiskan dua perlawanan terakhir iaitu klasifikasi tempat kelima hingga kelapan.
Pada perlawanan terakhir kumpulan A itu, skuad bimbingan Arul tiga kali mendahului lawan menerusi jaringan Fitri Saari (20’), Azrai Aizad Abu Kamal (30’) dan Firhan Ashari (40’) namun ketiga-tiga kelebihan itu dipadam pemain Pakistan, Sufyan Khan (23’), Ammad Butt (33’) dan Waheed Ashraf Rana (52’).
Justeru, skuad negara akan berdepan Chila pada penentuan 5/8 esok dan jika menang, Speedy Tigers berpeluang menamatkan saingan di kedudukan kelima.
Perlawanan terakhir kumpulan A itu juga bermakna pemain negara memanjangkan lagi tempoh dahaga untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik kepada 28 tahun, selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2000 di Sydney, Australia.