EKSKLUSIF
PENGARAH Teknikal dan Ketua Jurulatih Wanita Kebangsaan, Soleen Al-Zoubi menyambut baik tindakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mahu mewujudkan Liga Juara-Juara Wanita AFC (WACL) sebagai salah satu langkah menaikkan imej dan mutu bola sepak wanita di benua ini.
Soleen berpendapat kejohanan ini adalah satu langkah yang baik dalam meningkatkan lagi mutu bola sepak wanita di Asia selepas kejayaan Filipina dan Vietnam layak ke Piala Dunia Wanita Fifa 2023 di Australia dan New Zealand.
“Saya percaya ianya adalah satu langkah yang hebat dalam pembangunan bola sepak wanita di Asia. Kelab-kelab wanita ini perlukan lebih motivasi dan pendedahan antarabangsa bagi melahirkan lebih ramai pemain yang berkualiti,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Jurulatih kelahiran Jordan itu juga gembira kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedar akan kepentingan masa depan bola sepak wanita dan telah memulakan langkah awal dengan memulakan Liga Wanita Nasional (LWN).
Dia juga mahu memastikan Malaysia berjaya memperbaiki ranking dunia dan memohon lesen kelab yang berkaitan bagi memastikan kelab-kelab wanita berpeluang menyertai Liga Juara-Juara Wanita AFC pada masa akan datang.
“Kami kini baharu sahaja meletakkan batu asas bola sepak wanita dengan menganjurkan Liga Wanita Nasional dengan format ‘home and away’. Selepas ini pula, pelan kami adalah untuk memastikan setiap kelab memohon perlesenan kelab dan bekerja ke arah memperbaiki ranking dunia Fifa supaya kita akan mendapat slot untuk bersaing di peringkat kelab Asia.
“Saya juga percaya bahawa slot kelab di WACL akan bertambah dari masa ke masa yang turut memberikan peluang untuk kelab-kelab Malaysia bertanding sekaligus menjanjikan prospek yang lebih menarik untuk tahun-tahun yang mendatang,” jelasnya.
Soleen juga percaya kewujudan Liga Wanita Nasional akan melahirkan bakat-bakat baharu sekaligus akan membentuk skuad kebangsaan yang lebih baik namun segalanya memerlukan masa untuk melihat semua keputusan.
“Sudah tentu Liga Wanita Nasional akan membantu memperkasakan skuad kebangsaan. Ini kerana semakin banyak masa pemain habiskan di dalam padang untuk berlatih dan bermain perlawanan kompetitif secara mingguan, mereka akan memperbaiki dari sudut fizikal dan teknikal serta bersedia untuk dipanggil ke skuad kebangsaan.
“Selain itu , LWN juga akan menjadi satu platform yang lebih baik buat kami untuk memilih lebih banyak pemain tetapi perkara ini adalah satu proses yang panjang dan mengambil masa untuk melihat hasilnya.”