BIARPUN dikritik hebat segelintir peminat, Faisal Halim tampil aksi meyakinkan semasa membantu skuad Harimau Malaya membenam Hong Kong 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim.

Ia seolah-olah sebagai isyarat petanda kebangkitan Faisal untuk memburu gol sulung di Liga Super terutamanya belum lagi menemui sentuhan menggegar jaring sejak lima perlawanan awal bersama Selangor FC musim ini.

Justeru itu, Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid masih meyakini pemain sayap kiri Selangor itu memberi impak ke dalam pasukan walaupun kemarau jaringan peringkat kelab.

“Kami tetap yakin kerana Faisal adalah pemain yang sentiasa memberikan 110 peratus apabila diturunkan dan impaknya dalam pasukan amat ditagih kerana sering mengkucar-kacirkan pertahanan lawan.

“Saya lihat permainan sebelum ini walaupun dia tidak menjaringkan gol tapi Faisal berjaya membuat assist kepada pemain lain menggegar jaring.

“Sesungguhnya, kehadiran Faisal amat penting dalam pasukan jika dia tidak jaringkan, dia masih berjaya memberi ruang rakan sepasukan menjaringkan gol penting buat Selangor,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN : Faisal Halim syukur kembali temui sentuhan penyudah

Kem Selangor dan Faisal kini bersedia dan tidak sabar menghadapi Kuala Lumpur di Cheras pada Jumaat ini.

Menyentuh saingan Liga Super yang kembali bersambung pada 31 Mac ini, dengan Selangor menentang Kuala Lumpur City FC dalam pertembungan derbi Lembah Klang, ASFC optimis pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe mampu bermain lebih baik serta mendapat rehat yang mencukupi.

“Kehadiran beberapa pemain import baru perlu menyesuaikan diri dalam pasukan Selangor dengan segera. Saya harap pemain juga dapat menggunakan segala peluang beraksi di gelanggang sendiri pada pusingan pertama ini dengan meraih kemenangan demi kemenangan bagi mengejar slot bermain ke Piala Asia musim depan,” katanya.

Tiga mata yang bakal diraih Selangor itu pastinya memberikan tekanan kepada kelompok pasukan atasan liga terutamanya Johor Darul Ta’zim yang kini gah mencatatkan rekod bersih 100 peratus menang dalam lima perlawanan.