PEMAIN golf profesional negara, Ashley Lau sedikit terkilan dengan persembahan dirinya di Sukan Olimpik Paris kerana merasakan dia telah menghampakan harapan rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepada dirinya.
Gadis berusia 24 tahun itu yang melakukan debut di Sukan Olimpik mengakui ianya adalah cabaran terbesar yang pernah dihadapi dalam kariernya dengan keadaan padang golf yang mencabar.
Dia juga gembira kerana dapat beraksi sebaris dengan pemain-pemain golf profesional dunia dan akan menjadikan pengalaman ini sebagai medan terbaik untuknya mengharungi lebih banyak kejohanan selepas ini.
“Saya rasakan persembahan yang mengecewakan kerana boleh lakukan lebih baik. Saya sangat gemuruh beraksi pertama kali di Olimpik tetapi saya banyak belajar dari pengalaman ini.
“Selepas menamatkan aksi, saya menangis kerana rasakan saya kecewakan rakyat Malaysia yang berada di belakang saya tetapi saya banyak belajar untuk mengawal tekanan ketika beraksi dan perbaiki beberapa perkara,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba dari Paris.
Dia turut mengakui tekanan menyebabkan permainannya sedikit terganggu namun dia berjaya menenangkan diri untuk menghabiskan permainan dengan mata yang lebih baik.
“Bermain bersama-sama pemain terbaik dunia sedikit beri tekanan kepada permainan saya namun saya dapat mengawal rasa gugup itu dan memperbaiki mata permainan pada hari ketiga dan keempat namun saya masih rasakan yang saya mampukan lakukan catatan yang lebih baik,” jelasnya.
Ashley turut mengakui dia tidak membiarkan sebarang komen yang tidak baik di media sosial untuk menganggu persembahannya sebaliknya hanya fokus untuk memantapkan lagi aksinya dalam kejohanan akan datang.
Di Paris, Ashley menamatkan pertandingan empat hari di tangga ke-55 dengan catatan 306 pukulan, 18 di atas par dengan pemain New Zealand, Lydia Ko memenangi emas dengan 278 pukulan, 10 di bawah par.