PINGAT emas yang berjaya diraih dalam Temasya Sukan Para Games 2023 sekaligus menjadi motivasi untuk ke peringkat Asia buat atlet para negara, Muhamad Ashraf Muhammad Haisham.
Ashraf yang berusia 27 tahun berkata, kejayaan tersebut melengkapi sasaran peribadinya untuk terus melakukan yang terbaik dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 yang diadakan pada 28 Ogos hingga 8 September tahun depan.
“Saya gembira dan bersyukur kerana masih lagi mampu mempertahankan pingat emas yang saya dapat semasa di APG Solo terutama dalam acara kegemaran, 1500 m T46.
“Kejayaan ini memberi motivasi untuk saya ‘compete’ ke peringkat Asia seterusnya dan kejohanan dunia,” kata Ashraf kepada Flash Sukan.
Bercerita mengenai persediaannya menuju ke Sukan Paralimpik Paris 2024, Ashraf menekankan sesi latihan ini sedang berjalan dengan baik dan berasa di tahap 90 peratus bersedia untuk mendepani temasya sukan tersebut.
Dikala seluruh umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha, Ashraf akui perlu berkorban untuk tidak bersama keluarga untuk meraikannya dan perlu memberikan sepenuh tumpuan terhadap sesi latihan yang sedang dilakukan.
Dalam masa yang sama, menjadikan keluarga sebagai tulang belakang, Ashraf menyasarkan untuk memecahkan rekod sendiri dalam Sukan Paralimpik Paris 2024 bagi acara 1500 m T46 (kecacatan fizikal).
“Saya ingin jadi atlet 10 terbaik di dunia bagi kategori saya dan pecahkan rekod peribadi saya dalam acara 1500 m T46.
“Sudah tentu keluarga, mak abah saya selalu ada dibelakang saya. Selain usaha saya sendiri, kejayaan ini datang dari doa mereka yang tidak putus-putus untuk saya,” tambahnya lagi.