KETUA Pembangunan Atlet dan Projek Majlis Olimpik Asia (OCA) , Tony Tarraf (gambar) memberitahu Asian Diving Youth Camp 2022 diadakan adalah demi pembangunan masa depan atlet dan acara terjun.
Selain memfokuskan bagi melahirkan lebih ramai bintang terjun, kem sebegini juga bertujuan bagi atlet dan jurulatih bertukar pendapat dan mengenali lebih dekat budaya setiap negara.
“Apa yang kita mahukan adalah untuk mengembangkan sukan terjun. Ini adalah yang pertama. Kedua, kita mahukan peluang yang sama rata untuk atlet, jurulatih dan penerjun dan juri untuk belajar dan membangun.
“Ini adalah permulaan untuk jurulatih untuk berkongsi pengetahuan. Kita ada jurulatih yang berpengalaman dan jurulatih yang baru memulakan tugas. Mereka akan mendapat manfaat dari satu sama lain.
“Ia adalah cara yang bagus untuk kongsi budaya antara pelbagai negara dan merupakan kombinasi membuat analisis bersama-sama bersama jurulatih dan atlet.
“Di sini, sudah pasti ia peluang kepada atlet mengambil bahagian pada usia muda. Sudah tentu bukan sahaja untuk menjadi bintang dan juara Olimpik tetapi ia adalah peluang untuk memberikan yang terbaik dan berasa seronok dalam sukan terjun yang mereka sertai,” jelasnya selepas perasamian Asian Diving Youth Camp 2022 pada Isnin.
Sementara itu, bekas penerjun dari Australia, Shannon Roy yang kini membimbing pasukan terjun Thailand melontarkan keyakinan bahawa negara Siam itu mampu menjadi pencabar buat Malaysia dalam acara terjun.
Bagaimanapun, dia mengakui ia pastinya mengambil masa dan kesabaran yang tinggi bagi atlet terjun Thailand berada pada tahap tertinggi yang berjaya dicapai Malaysia ketika ini.
Di kelompok Asia Tenggara, dia mengharapkan negara lain turut bekerja keras untuk meningkatkan prestasi mereka bagi mencabar kedudukan Malaysia yang dilihat sehingga kini, tiada negara dari Asia Tenggara mampu menyaingi kehebatan penerjun kebangsaan.
“Sebagai jurulatih Thailand saya ada pelan, sasaran untuk pasukan saya. Tetapi sebagai sebahagian daripada pasukan dalam Asia Tenggara, saya ingin melihat Malaysia dicabar oleh negara – negara seperti Laos, Myanmar, Kemboja. Kita suka melihat Malaysia sangat hebat tetapi siapa mahu mengalahkan mereka.
“Kami percaya kepada atlet kami, kita percaya kepada kemampuan pasukan. Ia akan mengambil masa sebagaimana ia juga mengambil masa bagi pasukan Malaysia.
“Apabila saya hadir melihat pasukan Malaysia pada Komanwel 1998 di Malaysia, mereka baru sahaja bermula. 10 hingga 15 tahun selepas itu, mereka telah menjadi kuasa besar di dunia.
“Saya merasakan jika kita bersabar, ada sistem yang betul. Saya rasa Thailand boleh lakukan juga. Sukar untuk berada di atas dan kekal kerana semua pasukan ingin menjadi semakin baik.
“Kita ingin mencabar Malaysia kerana apabila kita melakukan demikian, mereka semakin baik dan kita juga semakin baik. Ia adalah kitaran yang menarik,” ujarnya.
Turut hadir adalah Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia (MS), Mae Chen dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mumtaz Jaafar.
Kem tersebut yang berlangsung dari 15 hingga 21 Ogos itu diadakan di The Pearl International Hotel, Kuala Lumpur dan Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil melibatkan 17 buah negara yang terdiri daripada 70 peserta (47 lelaki 23 perempuan).