KALI pertama sukan Muaythai disenaraikan dalam lima calon akhir Anugerah Sukan Negara (ASN) 2021, membuatkan atletnya Nur Amisha Azrilrizal amat teruja dengan pencapaiannya.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 itu berkata, tersenarai sebaris nama besar seperti Meilaura Dora Jimmy (bina badan), Datuk Pandelela Rinong (terjun), Rachel Arnold dan Aifa Azman (skuasy) bagi merebut gelaran Olahragawati, sudah cukup membanggakan.
“Saya sangat gembira dan teruja, dalam masa sama tidak sangka tercalon untuk ASN 2021. Ini kerana sukan Muaythai belum dikenali di seluruh dunia. Jadi Saya agak terkejut bercampur seronok,” kata pemenang pingat perak Sukan Sea Hanoi 2021 itu.
Ujar Amisha, dia sangat menghormati semua calon lain dan menganggap dirinya tidak setanding dengan keempat-empat pencabar yang juga seniornya dalam arena sukan.
“Rasa bangga apabila saya berada sebaris dengan mereka, tapi saya masih belum setanding Pandelela dan lain-lain,” katanya, yang meraih perak di Kejohanan Dunia tahun lalu.
Kata Amisha, disenaraikan sebagai calon akhir boleh meningkatkan lagi semangatnya untuk beraksi lebih cemerlang tahun ini.
“Ini satu pencapaian yang besar buat diri saya, kalau hendak dikira dari peningkatan banyak tangga sudah dinaiki, kerana sebelum ini hanya dihargai di peringkat negeri.
“Pertama sekali saya hendak cakap benda yang saya usahakan dalam Muaythai bukanlah sia-sia agak susah hendak naikkan sukan ini. Pencalonan ini bagi harapan dan semangat buat atlet baru agar ceburi bidang ini dengan sepenuh hati,” katanya.
Dalam masa sama, Amisha berharap pencalonan dirinya mampu untuk membuka mata semua pihak kerana dia juga ingin menyambung pengajian di luar negara sama seperti rakan senegerinya, Azeem Fahmi dalam sukan olahraga.
“Saya berhasrat menyambung pengajian di luar negara, jadi harap ASN ini membuka mata Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak agar memberi peluang kepada saya.
“Jika Azeem dapat, saya juga berpotensi untuk mendapatkannya jadi pencalonan buat sukan Muaythai ini harap diberi lebih perhatian,” katanya, yang memburu emas di Kejohanan Dunia di Thailand tahun ini.
Amisha berhasrat menyambung pengajian dalam bidang sains sukan dan berhasrat dapat berpangkalan di AS sama seperti Azeem.