FINAL Pestabola Merdeka 2024 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam bukan sahaja menyaksikan aksi menarik antara pasukan Malaysia dan Lubnan, tetapi juga insiden tegang yang berjaya diredakan dengan cekap oleh ASP Mohd Hasni Hussin, pegawai keselamatan yang berpengalaman luas.
Situasi berlaku melibatkan pemain Harimau Malaya, Arif Aiman dan lawan, Khalil Khamis pada minit ke-79, Arif telah dijatuhkan oleh Khalil. Kekasaran tersebut menyebabkan Khalil dilayangkan kad kuning kedua, dan Lubnan bermain dengan 10 orang.
Keadaan ini menyebabkan kedua-dua kem ‘panas’ di tepi padang, di mana pemain dan pegawai kedua-dua pasukan hampir terlibat dalam pertengkaran. Mujurlah, dengan pengalaman yang ada, Mohd Hasni bertindak pantas untuk mengawal keadaan.
Sebagai Pegawai Penyiasat Kanan di Bahagian Siasatan Jenayah IPD Brickfields, Kuala Lumpur, Mohd Hasni membawa pengalaman luas dalam keselamatan dan pengurusan acara sukan, juga bukanlah nama asing dalam arena bola sepak Malaysia.
Sebelum ini, beliau pernah bertugas dengan beberapa pasukan bola sepak dan futsal terkenal, termasuk Selangor Cops, PDRM Futsal, Pahang AirAsia Allstar, PJ Rangers FC, dan PDRM FC.
Penglibatan Mohd Hasni dengan skuad Malaysia Bawah 19 Tahun serta pasukan kebangsaan Malaysia semasa era Kim Pan-gon telah memberikan beliau pengalaman berharga dalam menguruskan keselamatan pasukan dalam kejohanan antarabangsa.
Sepanjang kariernya, beliau bukan sahaja bertanggungjawab menjaga keselamatan pemain tetapi juga memastikan suasana harmoni di dalam dan luar padang.
Bukan sahaja sebagai pegawai keselamatan, Mohd Hasni juga rapat dengan pemain-pemain Malaysia, yang menganggap beliau seperti keluarga sendiri.
Pemain merasa selamat di bawah jagaan beliau, yang sentiasa memastikan mereka dijaga dengan baik, sama ada di dalam mahupun di luar padang.
Kecekapan beliau dalam menangani insiden ini menjadi buah mulut daripada pelbagai pihak, termasuk jurulatih, pegawai pasukan, dan peminat bola sepak tempatan.
Insiden kecoh ini bukan sahaja menjadi peringatan tentang pentingnya disiplin dalam sukan, tetapi juga menyerlahkan peranan kritikal pegawai keselamatan seperti Mohd Hasni dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman terjaga sepanjang masa.