FOTO KREDIT : BERNAMA
SELAIN bintang terkemuka Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema yang berpindah ke kelab bola sepak di Arab Saudi, bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Asraruddin Putra Omar turut berhijrah ke negara itu.
Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu bukan menandatangani kontrak dengan mana-mana kelab di Arab Saudi, sebaliknya tinggal di Tanah Suci Makkah bagi mencari kebahagian dan mendalami ilmu agama.
“Saya sebenarnya ada pasang impian sejak kecil dulu, saya tengok orang datang Makkah buat umrah, kalau ada rezeki nak duduk sini sama ada di Makkah atau Madinah.
“Tetapi hanya sekadar impian sahaja lah sebab saya tak kenal sesiapa di Makkah atau Madinah,” katanya ketika ditemui pemberita di Arab Saudi.
Mengulas mengenai kedudukannya di pasukan amatur Kelana United FC, pemain kelahiran Kuala Selangor itu mendapat pelepasan daripada pasukan itu dan kelab itu bersedia menerima jika mahu kembali.
Mengimbau rekod kariernya, Asraruddin pernah membantu Malaysia menjulang Piala AFF 2010 serta pingat emas Sukan SEA 2009 ketika di bawah bimbingan Datuk K.Rajagobal dan telah mengumpul 25 kaps bersama Harimau Malaya.
Bersama Selangor, Asraruddin beraksi dari tahun 2007 hingga 2013 dan mewakili JDT berjaya meraih kejuaraan Liga Super sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2014, 2015 dan 2016.