BAHANG kehangatan Sepak Takraw League  (STL) 2024 kini dirasai apabila saingan Division 1 telah bermula semalam.

Selari dengan permulaan saingan STL untuk musim ini, Astro dengan kerjasama Klinik Penggalakan Sukan Sepak Takraw anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat pertama kali menganjurkan Klinik Sepak Takraw (STL).

Seramai 200 pelajar sekolah rendah daripada sekolah-sekolah terpilih daerah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menyertai Klinik STL 2024.

Para pelajar menunjukkan kemahiran mereka bermain sepak takraw

Klinik STL 2024 ini adalah cetusan yang dianjurkan daripada Kejohanan STL, inisiatif bersama Astro dan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menurut Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata, “Selepas pertama kali mengadakan Klinik STL dan mendapat sambutan hangat oleh pelajar-pelajar sekolah pada tahun lalu, kami mengambil peluang untuk menggandakan lagi kemeriahannya pada tahun ini.

“Kami amat berbesar hati dengan sokongan dana yang diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dan kerjasama pihak KPM yang memainkan peranan selaku pendokong penting dalam memacu melestarikan pembangunan akar umbi khususnya sukan sepak takraw.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John

“Melalui data penilaian penonton di STL, sebanyak 18 peratus penonton berumur 14 tahun kebawah dan 43 peratus pula berumur 25 tahun kebawah dengan rata-rata penonton STL yang hadir ke stadium pula adalah generasi muda dan anak-anak kecil bersama keluarga.

“Kami melihat penganjuran Klinik STL untuk generasi muda ini mampu memberi pendedahan serta menjadi platfom pembangunan dan pencarian bakat untuk digilap, seterusnya melahirkan atlit berprestasi tinggi atau jaguh sukan di peringkat antarabangsa suatu hari nanti,” katanya.

Demonstrasi daripada pemain-pemain profesional STL kepada pelajar-pelajar yang hadir ke Klinik STL

Jelasnya lagi, selain memupuk minat dari akar umbi, klinik STL ini juga bagi memberi peluang dan pengalaman berharga buat generasi muda ini untuk berjumpa dengan pemain-pemain professional STL mahupun pemain kebangsaan serta mempelajari asas-asas sukan tradisi ini bersama idola-idola mereka.

Klinik STL akan diadakan di lima buah negeri iaitu di sekolah terpilih Selangor, Terengganu dan Perak. Sementara itu, penyertaan terbuka dibuat di dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Johor untuk kanak-kanak yang berminat untuk menyertai klinik tersebut.