PELUANG menimba pengalaman bermain dengan kelab di peringkat antarabangsa bakal dirasai oleh pemain berbakat besar Nur Atira Mohamad Ismail dan rakan sepasukannya Nuramirah Shakirah Zulkifli.

Hubungan baik antara pemilik Kelab Hoki Hockademy, Datuk Seri Megat D Shahriman dengan kelab-kelab hoki Eropah khususnya di Jerman, membuka peluang pemain berbakat besar dari Malaysia bermain dan menimba pengalaman berharga dari kelab divisyen 1 di Eropah.

Menurut kenyataan Persatuan Pendidikan Sukan Hoki Kuala Lumpur pada Selasa, Megat D Shahriman bersifat terbuka dan optimis tentang kemajuan hoki negara dan cuba membantu seramai mungkin pemain dari Malaysia untuk beraksi di liga Eropah.

“Atira dan Amira merupakan pemain yang berdisiplin tinggi dan sangat berbakat seharusnya diberikan peluang untuk beraksi dan menimba pengalaman di kelab luar. Dengan kematangan dan pengalaman bermain di pelbagai negara, Megat D Shahriman percaya mereka berdua bakal menjadi aset penting untuk sukan Hoki negara satu hari nanti,” katanya.

Atira dan Amirah cukup serasi semasa mewakili pasukan UniKL. FOTO : TNB MHL

Pujian harus diberikan juga kepada Kelab Hoki Bremen yang percaya potensi pemain muda negara untuk beraksi untuk kelab divisyen 1 mereka pada bulan Jun ini.

“Namun Atira dan Amirah hanya dapat beraksi jika mendapat surat perlepasan (NOC Letter) dengan sendiri. Diharap bakat dan harapan pemain berbakat ini untuk mengharumkan nama Malaysia di liga Jerman nanti,” katanya lagi.