JALINAN kerjasama antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Universiti Cyberjaya, membolehkan Akademi Badminton Malaysia (ABM) mendapat manfaat kepakaran ahli psikologi daripada universiti terbabit.

Timbalan Presiden BAM Datuk V.Subramaniam berkata, pemain remaja negara akan menerima bantuan psikologi berterusan, baik dari segi pengurusan tekanan dalam pembentukan kerjaya sebagai atlet di usia muda, mahupun gaya hidup.

Timbalan Presiden BAM Datuk V Subramaniam (dua dari kiri) bersama Naib Canselor Universiti Cyberjaya, Profesor Dr Zabidi Hussin (tiga dari kiri) menunjukkan dokumen persefahaman yang ditandatangani kedua-dua organisasi terbabit.

“Sejak usia 13 tahun atlet muda negara dipanggil menyertai latihan di sini (ABM) dan mereka tinggalkan rumah dan ibu bapa mereka. Bila mereka tiba di sini secara keseluruhan persekitaran berubah dan sebab itu kita perlukan khidmat pakar terutama psikologi.

“Ini adalah langkah pertama kerana kita melihat bantuan psikologi ini sebagai satu keperluan buat atlet remaja negara. Tidak mustahil dengan adanya kepakaran psikologi ini dapat membantu atlet remeja menyelesaikan segala tekanan yang mereka hadapi sepanjang berada di ABM,” katanya, di ABM, Bukit Kiara.

Ahli psikologi dan kaunselor dari Universiti Cyberjaya turut hadir pada majlis berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.

Beliau berkata demikian selepas menjalin kerjasama persefahaman  dengan Universiti Cyberjaya.

Hadir pada majlis itu, Naib Canselor universiti terbabit, Profesor Dr Zabidi Hussin, bersama kumpulan pensyarah psikologi serta kaunselor.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ABM, Michelle Chai yakin kehadiran psikologi dapat membantu atlet remaja negara di akademi terbabit.

“Kami lihat di sini tekanan terlalu tinggi dan kita tak sedar apa yang pemain muda ini lalui sepanjang berada di ABM kerana kita lihat mereka seperti budak-budak.

“Tetapi dalam fikiran mereka berbeza, terutamanya mereka memikirkan soal perlawanan atau digugurkan daripada program sekiranya tidak mengekalkan prestasi dan pencapaian.

“Tekanan di BAM terlalu tinggi, jadi kita lihat bantuan psikologi ini penting berada dalam BAM sendiri.

Pemain badmniton remaja dari Akademi Badminton Malaysia (ABM) hadir mendengar dan menyaksikan sendiri jalinan kerjasama antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan Universiti Cyberjaya.

“Jika diikutkan, kita tiada kaunselor di sini dan kita cuma ada warden. Warden tak boleh jadi kedua-duanya sekali. Macam kita ada masalah kita buang pemain tersebut tetapi ia tidak menyelesaikan masalah itu. Bagi saya kita perlukan pakar dan jalinkan kerjasama dengan universiti ini adalah langkah terbaik,” ujarnya.

Sebagai balasan situasi menang-menang, Universiti Cyberjaya berpeluang menempatkan pelajar jurusan psikologi di ABM, sekali gus mengalami situasi sebenar dalam latihan industri berkaitan pengajian terbabit, dan meningkatkan kemahiran penuntut dalam industri psikologi sukan.

Lee Mun, 14, berasal dari Perak menganggap pengenalan aspek kesihatan mental lebih awal amat berguna buat atlet muda.

Difahamkan, kepakaran psikologi yang disalurkan universiti terbabit tidak terhad kepada atlet remaja sahaja, malah atlet elit juga berpeluang menggunakan perkhidmatan ahli psikologi dan kaunselor yang disediakan.

Bagi atlet, Lee Mun, 14, berasal dari Perak berkata, kerjasama dijalin itu satu perkembangan yang baik.

“Ini kemajuan yang baik kerana dapat membantu kami, atlet muda dalam menguruskan kesihatan mental.

“Apabila bercakap mengenai kesihatan mental, ada dua sudut iaitu negatif dan positif,” kata Lee Mun.

Iffah Madina Irwanto, 14, dari Selangor menganggap kehadiran ahli psikologi di Akademi Badminton Malaysia (ABM) boleh membantu atlet remaja menghindari perasaan kosong tanpa keluarga di sisi.

Sementara Iffah Madina Irwanto, 14, dari Selangor pula berkata, kehadiran ahli psikologi di ABM boleh membantu atlet muda yang berasakan kekosongan tanpa keluarga di akademi terbabit.

“Mungkin dapat bantu kami untuk berasa seperti kita masih ada keluarga di sini (akademi). Kerana tidak semnua orang memiliki keluarga sempurna dan setiap individu memerlukan seseorang untuk mendengar luahan.

“Di sini, ada atlet dari seluruh negeri, jadi seperti pemain dari Sarawak, mereka tidak boleh selalu balik kampung jadi dengan adanya ahli psikologi, pasti dapat membantu,” kata Iffah.