PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria memberi gambaran senarai atlet yang bakal diletakkan dalam senarai atlet Road to Gold bagi memburu emas pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Dalam senarai tersebut, pemain badminton dilihat mendominasi senarai atlet yang disasarkan bagi mendapatkan pingat dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Norza turut menggariskan kriteria yang diperlukan seseorang atlet itu untuk berada dalam sandaran Road to Gold adalah perlu berada pada ranking 10 terbaik dunia dan merupakan bekas pemenang pingat pada temasya Sukan Olimpik lepas.
“Tentu sahaja Azizulhasni Awang, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan Pandelela Rinong. Itu tiga buat masa ini yang sudah pasti.
“Tetapi yang lain-lain bagi pemain badminton seperti Lee Zii Jia, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yie. Mereka akan dikenalpasti melalui apa yang Stuart dan Michelle akan buat. Di situ kita akan melihat keperluan tiap-tiap individu yang kita akan pilih.
“Berdasarkan kriteria yang kita mahu, bekas pemenang pingat, kedua berada pada ranking 10 terbaik. Tentu sahaja Lee Zii Jia berada di situ.
“Sebab itu saya bagitahu, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan , selagi mereka berada pada kelompok 10 terbaik dan kita boleh mencari jalan bagaimana mereka memperkuatkan persediaan mereka dalam proses kelayakan dan di peringkat Olimpik nanti,” ujarnya ketika ditemui dalam sidang media Majlis Penajaan Kisona di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Dalam pada itu, Norza turut menegaskan bahawa mereka akan membantu atlet dalam beberapa aspek agar atlet tersebut mampu merangkul emas pertama Olimpik.
Selain keperluan Sains Sukan, atlet juga akan diberi bantuan menerusi aspek keperluan gaya hidup yang dimahukan untuk melakar kejayaan di peringkat tertinggi.
“Kalau kita tengok atlet-atlet sedia ada, mereka mendapat bantuan ini di dalam podium. Apabila mereka berada dalam podium, tentu saja ada sains sukan, kita bercakap tentang tukang urut, pelatih mental dan fisioterapi, semua lengkap.
“Apa yang kita akan melihat dari atlet yang kita senarai pendek ini adalah dengan melihat profil lebih lengkap. Ke mana hala tuju mereka, ke mana mereka hendak pergi.
“Baik dari segi keperluan sains sukan, keperluan gaya hidup atau keperluan bagi menghadapi setiap kejohanan. Kadang-kadang, mereka kata mereka ingin fast track peringkat kelayakan. Bila anda fast track peringkat kelayakan, anda sudah layak dan terus boleh berlatih,” katanya.
Demi melunaskan misi pingat emas pertama Malaysia di pentas Olimpik, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) telah menandatangani perjanjian (MOU) bersama Nippon Sports Science University dari Jepun bagi mencungkil rahsia kejayaan agar Malaysia berjaya mendapat emas pertama Olimpik.
“Sebagai contoh kita ada tandatangan dengan Nippon Sports Science University. Kita juga ada mengadakan lawatan ke sana kerana mereka ada melahirkan 41 atau 42 pemenang pingat emas Olimpik.
“Kita hendak lihat apa perkara yang kita tidak ada untuk kita membantu atlet-atlet yang kita senarai pendek untuk atlet yang berpotensi mendapat pingat,” jelasnya.