ATLET kanu Terengganu, Shahida Asyiqin Rusli yang memenangi empat pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 baru-baru ini ditawarkan melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Menurut Presiden Presiden Persatuan Kanu Malaysia (Masca) Datuk Wong Meng San wakil UPSI sudah mengunjungi Shahida Asyiqin yang menetap bersama ibunya di Chendering, Kuala Terengganu bagi menyampaikan surat tawaran melanjutkan pengajian ke program Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan melalui laluan khas atlet cemerlang sukan.
“Surat tawaran disampaikan Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK) Dr Jaffry Zakaria yang juga bekas atlet kanu negara,” jelas Meng San.
Ujarnya, langkah berkenaan adalah satu usaha yang murni bagi menjaga kebajikan atlet selepas tamat berkenaan.
“Saya berharap atlet dapat memanfaatkan peluang yang diberikan dan seterusnya berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih baik melalui sistem sokongan yang baik tidak mustahil atlet boleh bergerak lebih jauh,” kata Jaffry.
Beliau menambah, pihak UPSI menawarkan pembelajaran yang fleksibel melalui jadual yang terancang bagi atlet menjalani latihan dan pada masa sama menumpukan perhatian kepada pelajaran.
Jadual kuliah yang fleksibel iaitu jam 7 pagi hingga jam 10 pagi dan 4 petang hingga 7 petang adalah masa yang diperuntukan untuk latihan.
“Tambahan pula UPSI mempunyai tasik dan kemudahan kanu yang terbaik dengan semuanya berada didalam kampus dan kediaman pelajar.
“Program laluan khas atlet di UPSI merupakan usaha pihak fakulti dalam membantu semua atlet bukan sahaja dalam sukan kanu malahan sukan-sukan yang lain,” katanya.
Beliau berharap kerjasama yang erat dapat dijalinkan dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan bagi melahirkan lebih ramai ‘Thinking Athletes’ seperti yang digariskan seiring dengan dasar pembangunan sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).