ATLET ke temasya Sukan Asia kekal bersemangat dan tidak terjejas dengan situasi dihadapi kontinjen negara ke Sukan SEA Kemboja lalu, yang gagal mencapai sasaran pingat.

Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2023, Datuk Chong Kim Fatt berkata, atlet terpilih ke temasya Sukan Asia yang akan berlangsung di Hangzhou, China, September depan, bersedia memberikan aksi terbaik dalam usaha menghadiahkan pingat buat negara.

Menurut beliau, pihaknya akan memantau perkembangan dan persediaan atlet yang bakal ke Hangzhou supaya tidak berhadapan masalah mencipta keputusan positif kelak.

Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Asia Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt yakin atlet melakukan persiapan terbaik ke temasya sebenua itu.

“Kita sebenarnya kena tengok semua sekali (menyeluruh) pencapaian atlet di sukan itu (Sukan SEA Kemboja) kerana ada juga atlet atau persatuan sukan mecipta keputusan positif.

“Pada masa sama, kena lihat juga persiapan negara lain seperti Thailand dan Vietnam yang diketahui peruntukan yang dikeluarkan kepada mereka juga tinggi iaitu hampir 10 kali ganda daripada Malaysia.

“Namun, saya percaya atlet negara akan berikan terbaik dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia,” katanya.

Penari membuat persembahan semasa konsert untuk memulakan jelajah promosi menjelang Sukan Asia ke-19 di Beijing, Khamis, 27 April 2023./Pix China Daily

Selain itu, Kim Fatt berkata, persediaan tuan rumah tidak berdepan masalah untuk menganjurkan Sukan Asia 2023, sekali gus bersedia menerima kunjungan ribuan atlet pada September ini.

“Baru-baru ini adalah lawatan semua CDM ke venue Sukan Asia dan saya melihat persiapan mereka cukup bagus dan sudah lengkap.

“Sekarang, kita belum muktamadkan atlet yang akan bertanding di Sukan Asia. Mungkin kira-kira 300 atlet akan bertanding dalam 40 jenis sukan,” katanya.

Sukan Asia ke-19 dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 25 September 2022, ditunda ke tarikh baharu dari 23 September hingga 8 Oktober 2023 dengan persiapan kini sudah berada di peringkat akhir.