MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) gesa Majlis Sukan Negara (MSN) menjalin kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) alam usaha memberi kesedaran kepada barisan atlet negara, berhubung isu cukai pendapatan.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui, masih ada sebahagian besar atlet yang kurang arif dan tidak tahu mengenai jenis pendapatan mana yang dikenakan cukai ataupun tidak.

Justeru, beliau percaya kerjasama antara MSN dan LHDN dapat membantu atlet-atlet negara menguruskan kewangan mereka dengan lebih baik, sekali gus mengelak sebarang isu timbul pada masa hadapan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sarankan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama-sama memberi kesedaran kepada atlet.

“Saya tidak salahkan atlet (tidak bayar cukai) kerana kita lihat mereka sebagai pejuang negara. Sekiranya tidak bayar, mungkin ada sebab, iaitu dari segi kesedaran dan saya cadangkan untuk bagi kesedaran kepada atlet-atlet.

“Kadang-kadang untuk cukai ini, ada benda yang kita boleh dapat pengecualian sehingga cukai bersih menjadi lebih rendah. MSN bersama LHDN perlu panggil atlet dan beri kesedaran mengenai apa pendapatan yang dicukai ataupun tidak,” katanya, selepas majlis pelantikan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sebagai duta besar NCT Alliance dan pelancaran Kejohanan Badminton Junior NCT 2024 di Arena Sentosa, Kuala Lumpur.

Pada Rabu, media melaporkan ada individu dalam komuniti sukan gagal melunaskan cukai sehingga menyebabkan berlaku 243 kes tunggakan cukai melibatkan kerugian mencecah RM15.837 juta.