ATLET lawan pedang Mesir, Nada Hafez, mendedahkan bahawa dia bertanding di Olimpik Paris pada Isnin semalam, dengan bayi dikandung tujuh bulan.
Hafez yang berusia 26 tahun itu memenangi perlawanan pertamanya dalam pertandingan sabre individu wanita, tetapi kemudian tersingkir di pusingan 16 terakhir.
“Apa yang kelihatan seperti dua pemain di podium, sebenarnya adalah tiga! Itu adalah saya, pesaing saya, dan bayi kecil saya yang belum lahir!,” kata Hafez dalam satu hantaran di Instagram.
Hafez yang berasal dari Kaherah dan tampil di Olimpik ketiganya turut berkata, “Perasaan bangga memenuhi diri saya selepas bertanding semasa hamil.”
Dia mengalahkan Elizabeth Tartakovsky dari Amerika Syarikat 15-13 sebelum tewas 15-7 kepada Jeon Hayoung dari Korea Selatan di Grand Palais di ibu kota Perancis.
“Perjalanan kehamilan sendiri sudah cukup sukar, tetapi harus berjuang untuk menyeimbangkan kehidupan dan sukan adalah sangat mencabar, namun ianya berbaloi.
“Saya bertuah kerana mendapat sokongan suami saya (Ibrahim Ihab) dan keluarga untuk sampai sejauh ini,” tambah Hafez.
Perkhabaran yang dibuat Hafez itu muncul sebelum Tatjana Smith memenangi pingat emas pertama Afrika di Sukan Paris 2024, apabila atlet Afrika Selatan itu menang dalam acara renang 100m breaststroke wanita.