PELUANG untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia bawah 20 tahun (B-20) Ogos hadapan, enggan dilepaskan tiga atlet remaja negara, Pengiran Aidil Auf Hajam, Ng Tak Sing dan Hanssen Yap, yang beraksi cemerlang pada Kejohanan Olahraga Asia B-20, yang berakhir Ahad lalu.

Keterujaan bersaing dengan atlet benua Asia di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) minggu lalu, sudah menerbitkan rasa teruja dan membangkitkan semangat bersaing mereka, dan kini mereka mahu meneroka lebih jauh ke pentas dunia.

Kejohanan Olahraga Dunia B-20, pada 27 hingga 31 Ogos berselisih tarikh dengan penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak, 17 hingga 24 Ogos, dan Pengarah Teknikal Kejurulatihan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) semalam memberitahu, jika atlet mahu ke Peru, mereka perlu berlepas tiga hingga lima hari lebih awal untuk transit dan menghilangkan jet lag di Amerika Syarikat sebelum menaiki penerbangan sambungan ke Lima, Peru.

Pengiran Aidil memilih untuk beraksi di Lima, Peru berbanding Sukma 2024.

Bagi Pengiran Aidil, tidak timbul isu memilih sama ada Kejohanan Dunia B-20 atau Sukan Malaysia (Sukma) kerana mahu terus mencatat masa lebih pantas.

“Saya baru merakam masa peribadi terbaik 21.28 saat (s) di Dubai, dan mahu membaharuinya lagi di Peru.

“Saya nak beraksi di Kejohanan Dunia, Sukma masih ada dua kali peluang lagi untuk saya bermain,” kata Pengiran Aidil, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sewaktu pulang dari Dubai, semalam.

Dalam masa sama, atlet berusia 19 tahun kelahiran Sabah itu menetapkan sasaran untuk mewakili negara dalam acara 200m, di Sukan Sea, Thailand, tahun hadapan.

Atlet lompat kijang, Ng Tak Sing mahu raih emas di Sukma sebelum ke Peru.

Sementara itu, sebagaimana Pengiran Aidil yang meyumbang gangsa di Dubai, atlet lompat kijang, Ng Tak Sing juga enggan terlepas peluang beraksi di Kejohanan Dunia B-20 di Peru, namun dia juga mahu beraksi di Sukma.

Katanya, dia juga mahu memperbaiki jarak lompatan sekali gus menyasarkan mewakili negara di Sukan Sea Thailand dan membawa pulang pingat kepada negara.

“Saya nak ke Peru tapi saya nak habiskan dahulu saingan di Sukma.

“Keutamaan saya adalah memenangi pinat emas di Sukma baru ke Peru,” kata atlet dari Pulau Pinang yang mencatat lompatan peribadi terbaik 15.62 meter.

Dia berterima kasih kepada Cahaya Mata Sarawak yang menaja atlet menyertai kejohanan di Dubai, terutamanya selepas berjaya mencatat lompatan yang baik.

Hanssen Yap yakin, Kejohanan Olahraga Dunia B-20 dapat memberi tekanan yang baik untuknya mencatat masa lebih pantas dalam acara 100m.

Begitupun, Hanssen Yap yang gagal membawa pulang pingat dari Dubai tidak menyembunyikan hajat besar untuk beraksi di Peru,

“Walaupun saya tak dapat pingat, saya catat masa peribadi 10.41s, lima saat lebih laju dari catatan peribadi saya.

“Jurulatih saya ada perancangan untuk ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20.

“Saya yakin mampu mencatat larian lebih pantas di Peru dengan sasaran 10.20s. Untuk Sukma, saya masih boleh sertainya dua tahun lagi sehingga umur 21 tahun,” kata Hanssen, juga pelari dari Sabah.

Catatan rekod kebangsaan 100m, 10.09s yang dilakukan Muhammad Azeem Fahmi, ketika menyertai Kejohanan Dunia B-20 di Cali, Columbia pada 2022, terus menjadi inspirasi atlet olahraga muda negara, untuk mendapatkan kemasyhuran yang sama.