SEORANG atlet olahraga digantung selama dua tahun daripada sebarang penyertaan sukan bermula 2 Jun 2023 hingga 1 Jun 2025 apabila disahkan positif ujian doping ketika Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia memutuskan bahawa atlet telah membuat pelanggaran Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan hukuman itu selaras dengan Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan World Anti-Doping Code 2021.

Tambahnya, keseluruhan proses telah dijalankan dengan telus dan mengikut Peraturan Anti-Doping Adamas 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM) yang berkuat kuasa.

“Prinsip kebertanggungjawaban mutlak (Principle of Strict Liability) adalah terpakai kepada atlet. Ini bermakna setiap atlet harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap bahan yang terdapat dalam sampel urin dan/atau sampel darah mereka yang diambil semasa pengujian kawalan doping, tidak kira sama ada atlet itu secara sengaja atau tidak sengaja menggunakan bahan atau kaedah terlarang.

“Oleh itu, adalah penting untuk semua atlet dan kakitangan sokongan atlet mematuhi peraturan anti-doping dan memahami tanggungjawab mereka di bawah Kod Anti-Doping Dunia,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Adamas.

Artikel Berkaitan: Atlet kejohanan trek gagal ujian kawalan doping – ADAMAS

Untuk rekod pada Jun lalu, Adamas telah memaklumkan seorang atlet olahraga didapati positif bahan terlarang kelas S.6 Stimulants – sibutramine dan ia disahkan dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar.

Selepas dimaklumkan dan menerima notis pertuduhan, atlet memohon secara bertulis untuk diadakan satu sesi pendengaran di hadapan Panel Pendengaran Anti-Doping Malaysia.

Dalam masa yang sama, Adamas turut memaklumkan atlet boleh mengemukakan rayuan secara bertulis terhadap keputusan ini selewat- lewatnya 24 Januari 2024 (Rabu) kepada pihak Adamas.