SEORANG pengantin lelaki mengamuk, membunuh empat orang termasuk pengantin perempuan dan mencederakan seorang lelaki sebelum menembak dirinya sendiri dengan pistol di majlis perkahwinannya pada Sabtu malam.

Penembak itu dikenali sebagai Chaturong Suksuk, bekas renjer OKU (Orang Kurang Upaya) dan atlet Paralimpik.

Kejadian tragis itu berlaku kira-kira jam 11.25 malam di sebuah rumah di daerah Wang Nam Khieo, di mana majlis perkahwinan diadakan untuk Chaturong, 29 tahun yang juga merupakan pengantin lelaki, dan Kanchana Pachunthuek, 44, pengantin perempuan.

Polis Wang Nam Khieo telah dipanggil ke tempat kejadian untuk siasatan.

Sebelum itu upacara perkahwinan tradisional diadakan di rumah antara Chaturong dan Kanchana, diikuti dengan jamuan pada pagi Sabtu.

Chaturong merupakan renjer separa tentera yang mengalami kecacatan di kakinya disebabkan oleh insiden yang berlaku semasa dia sedang bertugas.

Pasangan ini  tinggal bersama selama tiga tahun sebelum memutuskan untuk berkahwin secara rasmi. Chaturong berusia 15 tahun lebih muda daripada pengantin perempuan.

Foto kredit: THE NATION/ASIA NEWS NETWORK

Majlis perkahwinan telah diadakan pada malam itu, dihadiri tetamu dan saudara mara kedua-dua belah pihak. Semasa pesta itu, para tetamu dan saudara mara menyedari Chaturong tidak kelihatan gembira seperti yang dijangkakan.

Lewat malam, Chaturong tiba-tiba keluar dari parti  tersebut dan menuju ke keretanya.

Tidak lama selepas itu, dia kembali dengan pistol dan melepaskan tembakan yang membunuh pengantin perempuan, ibunya Kingthong Klajoho, 62, adik perempuannya Kornnipa Manato, 38, dan seorang tetamu, Thong Nonkhunthod, 50.

Manakala seorang lagi tetamu, Bamrung Chatherat, 28, cedera parah dan telah dimasukkan ke Hospital Maharat Nakhon Ratchasima.

Chaturong kemudian menembak dirinya sendiri. Dia mati serta merta.

Ketua polis Wang Nam Khieo, Pol Kol Roongjroj Tang-amnuay berkata 11 kelongsong peluru 9mm habis ditemui dari tempat kejadian.

Beliau berkata Chaturong adalah bekas askar marin yang ditempatkan di pangkalan tentera laut Sattahip di Chon Buri. Dia mengalami kecacatan selepas sebelah kakinya digilis kereta api dan terputus dalam kemalangan.

Chaturong adalah ahli pasukan atlet OKU Thailand yang mengambil bahagian pada Sukan Para Asean ke-11 di Indonesia 2022 dan merangkul pingat perak dalam sukan renang.

Dia  juga berada dalam senarai atlet kurang upaya untuk bertanding dalam Sukan Kemampuan Dunia 2023 yang akan diadakan pada 1-9 Disember  ini di Nakhon Ratchasima.