BARISAN atlet yang disasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 digesa lebih serius kerana tempoh kelayakan semakin suntuk.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, atlet podium negara perlu menunjukkan semangat juang tinggi dalam memburu slot ke Paris 2024, menerusi setiap peluang yang diberikan.

“Saya hanya nak semua atlet podium kita, bukan hanya badminton kerana sekarang kita sudah menandatangani kontrak dalam bentuk gaji dengan semua atlet,” kata Hannah ketika mengulas mengenai prestasi pemain negara di Terbuka Malaysia 2024.

Ketika ditemui media selepas majlis Malam Anugerah Olahraga Malaysia, Hannah mengakui: “Mereka kena lihat bahawa latihan sahaja tidak cukup, semua rakyat Malaysia mendoakan mereka… nak tengok hasil.

“Kita tak banyak masa lagi sebelum ke Sukan Olimpik Paris. Saya nak semua bertungkus lumus untuk pastikan mereka layak dan keduanya, mereka betul-betul serius mengambil peluang ini kerana peluang ini bukan semua orang dapat dan bukan semestinya boleh pergi kali kedua nanti di Los Angeles.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh gesa atlet podium lebih serius hadapi saingan kelayakan ke Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menghadiri Malam Anugerah Olahraga Malaysia di Hotel Impiana, KLCC.

“Itu sebabnya mereka kena ambil peluang ini dan betul-betul serius dalam latihan.”

Melihatkan cabaran Malaysia di Terbuka Malaysia 2024  yang berakhir dengan pencapaian terbaik wakil negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin terkandas di suku akhir, Hannah mengakui kecewa namun yakin, pemain negara mampu mendapatkan tahap prestasi yang diinginkan.