ATLET kanu, Shahida Asyiqin Rusli, 18, menjadi penerima insentif terbanyak oleh kerajaan negeri Terengganu susulan kejayaan empat pingat emas, tiga perak dan enam gangsa pada Sukma 2022.

Dia menerima imbuhan keseluruhan RM33,500 serta seutas jam tangan sukan jenama Garmin bernilai RM1,500 yang diserahkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

EXCO Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, setiap pemenang pingat emas diberikan RM3,500, RM 2,500 untuk pingat perak dan RM1,500 untuk gangsa.

Menurutnya, seramai 387 atlet, jurulatih dan pegawai menerima imbuhan berkenaan melibatkan peruntukan lebih RM1.5 juta ringgit kepada kontinjen Terengganu.

“Imbuhan ini merupakan tanda penghargaan kerajaan negeri kepada semua pihak atas pencapaian kontinjen Terengganu melepasi sasaran pingat.

“Walaupun gagal mempertahankan kejuaraan keseluruhan, pencapaian 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa adalah pencapaian terbaik Terengganu dalam sejarah penyertaan Sukma.

“Fokus kami selepas ini adalah untuk memulakan persiapan merampas gelaran juara keseluruhan pada 2024,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Kontinjen Terengganu pada Khamis.

Sementara itu, Shahida Asyiqin ketika ditemui FLASH SUKAN, tetap nekad dengan keputusan untuk bersara pada usia 18 tahun daripada sukan itu selepas cemerlang pada Sukma 2020, bulan lalu.

Ujarnya, keputusan itu dibuat bagi memberi tumpuan kepada pelajaran walaupun terpaksa melupakan temasya Sukan SEA Kemboja 2023 dan Sukma 2024.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa pun sama ada beraksi di Sukan SEA apatah lagi Sukma. Terpilih ke pasukan negeri pun secara suka-suka dan kejayaan tempoh hari adalah tidak dijangka.

“Jika kekal aktif sekali pun saya mungkin hanya berlumba di peringkat fakulti atau universiti sahaja selepas ini,” jelasnya yang masih menanti tawaran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).