ATLET triatlon negara, Chong Xian Hao menarik diri daripada menyertai temasya  Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bakal berlangsung pada 28 Julai hingga 8 Ogos ini berikutan masalah kecederaan.

Menurut Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Xian Hao menarik diri selepas mengalami kecederaan ketika menjalani latihan persiapan ke temasya berprestij berkenaan baru-baru ini.

Penarikan diri Xian Hao itu juga dibuat setelah mendapat pengesahan tahap kecederaan atlet itu daripada Institut Sukan Negara (ISN).

“Susulan penarikan diri Xian Hao, bilangan atlet dalam kontinjen negara ke Sukan Komanwel 2022 adalah seramai 104 orang.

“Pihak MOM berharap agar beliau akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan dapat kembali beraksi dalam tempoh terdekat,” jelas kenyataan MOM.

Xian Hao,21, terpaksa melupakan hasrat membuat penampilan kedua di temasya kali ini selepas kemunculan pertama pada edisi 2018 di Gold Coast.