TERSENYUM lebar para atlet Wilayah Persekutuan apabila mereka yang memenangi pingat di temasya dan kejohanan sepanjang tahun ini menerima insentif keseluruhan berjumlah RM1.095 juta.

Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyampaikan insentif berkenaan kepada atlet Wilayah Persekutuan yang memenangi pingat pada temasya Sukan Komanwel ke-22 di Birmingham, Sukan Perpaduan Islam ke-5 di Konya, Sukan SEA ke-31 di Vietnam serta Sukan Malaysia (SUKMA) MSN 2022.

Turut diraikan adalah atlet Wilayah Persekutuan yang beraksi cemerlang pada kejohanan dalam dan luar negara seperti Kejohanan Muaythai IFMA 2022, Liga Sepak Takraw 2022,Kejohanan Bola Jaring B-19 2022 dan Netball Super League 2022.

“Mengimbau kembali pencapaian atlet Wilayah Persekutuan sepanjang tahun ini, saya gembira apabila ramai daripada atlet WiPers berjaya mengharumkan nama Wilayah Persekutuan dan nama Malaysia di pelbagai kejohanan serta temasya tempatan dan antarabangsa.

“Majlis Penyampaian Insentif Atlet & Jurulatih Wilayah Persekutuan hari ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada pengorbanan yang dilakukan atlet WiPers tapa mengira sama ada masih berada di dalam program mahu pun tidak,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Hajah Rosida Jaafar dalam ucapannya pada Khamis.

Skuad terjun WiPers menamatkan saingan pada SUKMA 2022 dengan mengumpul 1 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa.

Pada SUKMA ke-20 yang berlangsung September lalu, kontinjen WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan memenangi 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa.

“Sebagai Ketua Kontinjen pada SUKMA ke-20 ini, saya sendiri melihat usaha dan kesungguhan yang dipamerkan setiap seorang daripada atlet WiPers yang turut serta pada temasya ini namun nasib tidak menyebelahi kita apabila tidak dapat mencapai sasaran untuk muncul juara.

“Saya yakin atlet WiPers akan bangkit dan berusaha berlipat kali ganda bagi sama-sama bangkit mencipta kejayaan yang lebih gemilang papa SUKMA akan datang,” katanya.

Daripada RM1.095 juta itu, RM115,000 diterima atlet yang berjaya meraih pingat di Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Perpaduan Islam.

Sebanyak RM52,600 pula diterima atlet yang mewakili negara di Sukan SEA Vietnam dan jumlah paling besar diperuntukkan adalah dalam SUKMA Ke-20 sebanyak RM905,600.

Atlet Wilayah Persekutuan yang berjaya di kejohanan dalam dan luar negara menerima jumlah keseluruhan RM22,500.