ATLET wushu negara memerlukan lebih keazaman untuk mencipta satu lagi kejayaan bermakna di Kejohanan Wushu Dunia ke-16, yang akan berlangsung di Texas, Amerika Syarikat (AS) bulan hadapan.

Justeru, detik manis di Sukan Asia Hangzhou, China, dan Sukan Kombat Dunia di Riyadh, Arab Saudi, perlu segera dilupakan.

Jurulatih wushu kebangsaan, Loh Choon How berkata, keputusan satu emas dan satu gangsa dimenangi skuad wushu negara di Riyadh minggu lalu satu persembahan yang baik.

“Buat atlet, kejohanan kombat ini satu peluang yang baik untuk mereka buktikan kemampuan kerana hanya enam atlet terbaik dalam setiap kategori layak bertanding berdasarkan ranking Kejohanan Dunia 2019, jadi mereka terpilih.

“Tan Cheong Min sendiri, juara dunia pada tahun terbabit jadi di Sukan Kombat Dunia 2023, dia buktikan dia masih di tahap prestasi sama.

“Pang Pui Yee pula kali pertama beraksi di kejohanan berkelas dunia dan saya anggap keputusan ini satu pencapaian yang hebat,” kata Choon How kepada FLASH SUKAN.

Justeru, beliau mahu setiap atlet wushu negara terus fokus untuk menghadapi Kejohana Wushu Dunia 2023 yang akan berlangsung di Fotrh Worth, Texas, AS dari 16 hingga 20 November.

Kejohanan Dunia ini adalah yang pertama sejak dibatalkan pada 2020 akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

“Bagi Cheong Min dan Pui Yee, saya harap kejayaan di Riyadh meningkatkan tahap keyakinan mereka untuk hadapi Kejohanan Dunia bulan depan.

“Bagi atlet lain, jadikan setiap kegagalan menaiki podium sebagai proses sebuah pengalaman.

“Dalam masa sama, saya amat yakin bahawa atlet wushu kita akan mempamerkan persembahan lebih baik di kejohanan akan datang.”

Pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China, skuad wushu membawa pulang dua emas, lima perak dan satu gangsa, menduduki tangga keenam keseluruhan daripada 37 negara yang mengambil bahagian.

Emas negara disumbangkan dalam acara Taolu menerusi Cheong Min (nandao wanita) dan Chuah Shangyang (Xingyiquan lelaki), manakala lima perak pula menerusi Wong Weng Soon (changquan, jianshu, qiangshu lelaki, 3 perak), Cheong Min (nanquan wanita) dan berpasukan wanita (duilian-Phoon Eyin, Loh Ting Ting dan Cheong Min) manakala gangsa menerusi Loh Choon How (taijiquan lelaki).