PASUKAN kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya pulang dengan tangan kosong selepas kekalahan besar 0-4 di tangan New Zealand dalam perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium North Harbour, Auckland Isnin lalu.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia gagal mencatat sebarang kemenangan dalam siri perlawanan FIFA Matchday October.

Bagaimana pun,  punca kekalahan ini melangkaui hanya prestasi di padang.

Berikut adalah analisis yang ketara dapat dilihat sekaligus menjadi penyumbang kepada kekalahan Harimau Malaya kali ini.

1. FAM Gagal Urus Jadual Persahabatan

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berdepan kritikan selepas gagal mengatur perlawanan persahabatan yang mencabar untuk Harimau Malaya.

Lapan negara, termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, dan Vanuatu, menolak jemputan Malaysia untuk perlawanan persahabatan, memaksa skuad negara berdepan Auckland FC, sebuah kelab yang baharu ditubuhkan dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 2, yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Kekurangan perlawanan berkualiti menjadi salah satu faktor Harimau Malaya tidak dapat menguji kekuatan sebenar mereka sebelum bertemu New Zealand.

Safawi rashid cuba untuk menekan pemain Auckland FC, sebuah kelab yang baharu lapan bulan ditubuhkan, dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 2 (tertutup), yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

2. Ketiadaan Dion Cools: Kesan terhadap pertahanan

Kehilangan ketua pasukan, Dion Cools, sangat dirasai dalam perlawanan ini. Pemain muda, Harith Haiqal yang diberikan tanggungjawab besar untuk mengisi kekosongan tersebut kelihatan gugup dan tidak dapat menunjukkan prestasi yang sepatutnya.

Keputusan untuk tidak menggunakan pemain lebih berpengalaman seperti Daniel Ting mengundang kritikan terhadap pengendali pasukan, Pau Marti Vicente.

3. Identiti High-Pressing Hilang

Selepas pemergian Kim Pan Gon (KPG) sebagai ketua jurulatih, Harimau Malaya kelihatan bergelut untuk mencari identiti permainan mereka. Di bawah kendalian Pau Marti, pasukan kini lebih mengutamakan penguasaan bola, namun pemain masih belum dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan ini.

Hasilnya, tekanan dari New Zealand membuatkan Malaysia kerap kehilangan bola dan gagal memberikan tekanan balas yang mencukupi.

Pemain tengah New Zealand, Liberator Cacace dilihat bebas mengawal bola dan tiada seorang pemain kebangsaan cuba untuk memberi tekanan dan jelas pemain-pemain New Zealand tidak dalam kawalan pemain negara.

Pada 45 minit pertama menyaksikan skuad kendalian Pau Marti Vicente itu dikerah untuk bertahan sehingga berlakunya banyak kesilapan dan mudah kehilangan bola ketika cuba membina permainan.

4. Lambat Membuat Keputusan

Dalam satu peluang cerah minit ke-49, Arif Aiman gagal membuat keputusan pantas dalam situasi serangan balas. Lambat bertindak ini menyebabkan peluang untuk menjaringkan gol terlepas begitu sahaja.

Keupayaan pemain untuk berfikir dan bertindak pantas dalam situasi kritikal menjadi faktor penting yang perlu diperbaiki.

Malaysia tampil dengan permainan lebih baik di awal separuh masa kedua dan berjaya melakukan serangan balas pada minit ke-49 namun lorongan lewat Arif Aiman dihadang Storm Roux.

5. Permainan Terbuka Jerat Harimau Malaya

Pada separuh masa kedua, Pau Marti cuba mengubah taktik dengan bermain lebih terbuka. Namun, keputusan ini memakan diri apabila Corbin Ong, yang sering membantu serangan dari posisi pertahanan, gagal kembali ke tempat asalnya untuk menutup ruang, memberi peluang kepada pemain New Zealand untuk menghukum Malaysia.

Gol pertama New Zealand terhasil dari situasi pemain lambat untuk turun dan tidak marking pemain lawan dengan betul, kelihatan Harith Haiqal hanya menjaga padang dan Syamer serta Corbin lambat untuk turun membantu barisan pertahanan, jelas terlihat ruang bebas yang diberikan pada dua pemain lawan di dalam kotak penalti Malaysia.

6. Perlu Beri Peluang Penjaga Gol Simpanan

Syihan Hazmi, penjaga gol utama mungkin perlu diberi rehat selepas kelihatan agak hilang fokus.

Malaysia terus dihukum apabila Ahmad Syihan gagal menepis hantaran tinggi dari Kosta Barbarouses, yang membolehkan Chris Wood, pemain gantian separuh masa kedua, menanduk masuk gol ketiga untuk New Zealand.

Meskipun menyelamatkan beberapa percubaan pada separuh masa pertama, gol mudah yang dilepaskan pada babak kedua menjadi persoalan. Azri Ghani dan Azim Al-Amin, penjaga gol simpanan, perlu diguna untuk melihat prestasi masing-masing.

7. Terkubur Impian Pot 1 Kelayakan Piala Asia 2027

Kekalahan ini juga memberi kesan besar kepada ranking FIFA Malaysia, yang boleh menyebabkan Harimau Malaya terlepas peluang berada dalam Pot 1 untuk undian Kelayakan Piala Asia 2027. Tambahan pula, keputusan seri antara India dan Vietnam menambah tekanan buat skuad negara.

kedudukan Malaysia di Pot 2 dalam undian Kelayakan Piala Asia 2027 setakat ini.

8. Penambahan Slot Pemain Import: Ancaman Pembangunan Bakat Tempatan

Keputusan Malaysian Football League (MFL) untuk menambah slot pemain import dilihat menjejaskan perkembangan pemain tempatan, khususnya dalam pertahanan.

Pemain seperti Matthew Davies dan Corbin Ong jarang mendapat peluang di pentas antarabangsa kerana posisi mereka sering diisi pemain import dalam liga. Keutamaan perlu diberikan kepada pembangunan bakat tempatan, terutamanya untuk mengekalkan kestabilan jangka panjang pasukan kebangsaan.

Tahun ahun 2024 bukan tahun terbaik buat Harimau Malaya, namun masih ada ruang untuk bangkit dan memperbaiki prestasi sebelum pusingan kelayakan Piala Asia dan kejohanan besar lain di masa hadapan.