PEMBUAT kereta Jerman, Audi mengumumkan akan menyertai Kejohanan Dunia Formula 1 bermula musim 2026 sebagai pembekal enjin.

Keputusan ini dibuat selepas pengumuman undang-undang baharu unit kuasa yang direka secara khusus untuk membenarkan dan menarik minat pengeluar baharu untuk menyertai sukan ini secara kompetitif diumumkan awal bulan lalu.

Unit kuasa untuk musim 2026 akan mengekalkan kuasa V6 tetapi akan meningkatkan kuasa elektrik dan 100% minyak mampan yang menjadi dua faktor utama penyertaan Audi.

Audi yang juga sebahagian daripada Kumpulan Volkswagen juga menyokong pelan F1 untuk lebih berdaya mampan dan efektif dari sudut koa dengan pengenalan kawalan kos untuk pembekal enjin diperkenalkan pada 2023 dan F1 meletakkan sasaran untuk menjadi ‘Net Zero Carbon’ menjelang 2030.

“Saya berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Audi ke sukan Formula 1, sebuah jenama automotif yang ikonik, pelopor dan juga penggerak teknologi permotoran.

“Ini adalah detik yang besar untuk sukan ini yang memaparkan kekuatan yang dimiliki sebagai platform global yang berterusan berkembang dan kami tidak sabar untuk melihat logo Audi di grid permulaan nanti,” kata Presiden F1 dan Ketua Pegawai Eksekutif, Stefano Domenicali yang pernah bekerja bersama Volkswagen bermula dari 2014.

Pengumuman Audi itu dilakukan pada sidang media sempena perlumbaan Grand Prix Belgium minggu ini yang dihadiri Pengerusi Badan Pengurusan Audi AG Markus Duesmann serta Badan Pengurusan Teknikal, Oliver Hoffmann, dan Presiden FIA Mohammed Ben Sulayem.

Pengeluar enjin itu berkata mereka akan membuat keputusan dengan pasukan mana yang mereka akan bekerjasama pada 2026 penghujung tahun ini.