KONTINJEN Malaysia ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 diletakkan sasaran 35 pingat emas dan tiga kontinjen terbaik yang dianggap sebagai realistik berdasarkan jumlah atlet dan penyertaan dalam 18 acara sukan.
AUG 2024 yang akan berlangsung di Surabaya dan Malang, Indonesia dari 25 Jun hingga 6 Julai bakal menyaksikan penyertaan 263 atlet dan 119 pegawai dengan kehadiran beberapa atlet yang pernah beraksi di Sukan SEA Kemboja tahun lalu.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika ditemui turut mengumumkan kenaikan insentif kemenangan kepada mana-mana atlet yang memenangi pingat pada temasya kali ini.
“Kita telah membuat pengumuman insentif kepada pemenang pingat dengan pingat emas bakal membawa pulang RM3,000 berbanding RM2,000 sebelum ini manakala pingat perak pula akan menerima RM2,000 berbanding RM1,500 dan pingat gangsa pula dinaikkan dari RM1,000 kepada RM1,500.
“Ianya bukan tentang insentif semata-mata tetapi atlet akan membina semangat patrotisme yang tinggi dan mencipta nama serta memberikan sesuatu yang berharga buat negara.
“Sasaran yang ditetapkan iaitu 35 pingat boleh dicapai dan kita harap mereka mampu mengatasi angka itu kerana dalam sukan semangat juang akan menjadi penggerak buat para atlet untuk mencipta kejayaan,” katanya semasa majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia pada Khamis.
Atlet olahraga, Umar Osman diberi penghargaan sebagai pembawa Jalur Gemilang bersama-sama atlet renang, Bryan Leong Xin Ren pada acara pembukaan rasmi di Universiti Negeri Surabaya pada 25 Jun 2024.
Sebagai rekod, ketika temasya yang sama pada 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand, Kontinjen Malaysia membawa pulang 49 pingat emas, 83 perak dan 52 gangsa untuk tempat kedua dibelakang tuan rumah yang dinobatkan sebagai juara keseluruhan.