SESIAPA pun yang berada di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada petang Sabtu untuk menyaksikan perlawanan Piala FA antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC pastinya akan merasai aura yang dimiliki oleh pemain kesayangan ramai, Faisal Halim.
Faisal atau mesra disapa Mickey membuat kemunculan di stadium itu bersama-sama keluarga serta anaknya meskipun masih dalam proses pemulihan kesan perbuatan khianat yang melanda dirinya bulan lalu.
Sebaik sahaja tiba di stadium, dia mendapat sambutan dan tepukan gemuruh dari para penyokong yang merindui keletahnya di dalam padang dan dia juga dilihat sentiasa tersenyum dan melambai kepada penyokong walaupun diberikan kawalan ketat oleh pasukan keselamatan.
Kempen Hari Bapa yang dilakukan Selangor FC untuk perlawanan itu turut menjadi lebih bermakna apabila bapa Mickey, Abdul Halim Saad turut turun ke padang bersama-sama bapa pemain yang lain sekaligus mengundang rasa sebak atas ketabahan yang dihadapi dirinya.
Faisal juga turut hadir ke bilik persalinan sebelum permainan bermula yang jelas menaikkan semangat kesemua pemain yang dilihat bermain untuk dirinya dengan menghadiahkan kemenangan 4-0 dan Yohandry Orozco melakukan sambutan gol ala Faisal Halim yang disambut oleh penyokong di seluruh stadium.
Rasa geram tidak dapat bermain bola sepak jelas kelihatan pada gerak tubuh Mickey dan dia turut bersorak gembira meraikan keempat-empat gol yang dijaringkan dan setiap kali itu juga penyokong yang berada di kawasan grandstand tidak henti-henti merakam detik indah itu.
Selepas tamat perlawanan, penyokong tidak berganjak dan menunggu sehingga Faisal meninggalkan stadium ditambah sorakan Faisal Halim! Faisal Halim! dari UltraSel yang cukup mengujakan dan membuatkan bulu roma berdiri.
Penyokong juga menunggu sehingga Faisal naik ke kereta dan pulang ke lokasi rahsia yang ditetapkan sekaligus melambangkan rasa sayang mereka kepada Mickey yang kini boleh dilihat sebagai pemersatu penyokong.
Mickey, anda sememangnya seorang pejuang dan para penyokong sentiasa di belakang anda. Demi kebanggaan.