AURA penyokong Harimau Malaya sudah tentu ditagih untuk menyuntik motivasi tambahan pemain Malaysia yang bakal berhempas pulas menjelang saingan terakhir Kumpulan E Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, sorakan padu Ultras Malaya amat diharapkan kerana mereka datang dengan sekumpulan yang besar serta penyokong negara yang hadir bagi meniupkan semangat pemain Kim Pan-gon.
“Dengan gegak gempita suara padu pemain ke-12 di luar padang saya yakin kita dapat memberikan semangat 110 peratus kepada pemain. Insha Allah, Malaysia akan menang malam ini menentang Bangladesh.
“Kemenangan besar sahaja mampu melayakkan pasukan Kim Pan-gon ke peringkat seterusnya nanti. Ayuhhh Harimau Malaya! Ayuh kasi ‘terkam’ Bangladesh !,” katanya kepada Flash Sukan.
Pengerusi Kelab Legasi Kedah, Mohamad Hazriq Fahimy Abdullah berharap pemain jangan sesekali memandang rendah terhadap kemampuan lawan sebaliknya harus fokus dengan permainan.
“Kita kena teruskan memburu gol yang banyak dalam usaha melebarkan perbezaan jaringan untuk diambil kira nanti bagi memastikan kedudukan kita lebih selamat untuk mara.
“Saya yakin para penyokong negara tidak terkesan komen dari orang politik, malah akan turun bersatu hati dalam terus memberikan sokongan kepada pasukan negara kita,” ujarnya menggesa jurulatih Pan-gon tidak menurunkan Guilherme de Paula pada aksi genting nanti.
Ditanya siapa gerangan penyerang hadapan pilihan penyokong, Mohamad Hazriq Fahimy memilih gandingan Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid serta Akhyar Rashid dan juga Arif Aiman Hanapi untuk merobek gawang Bengal Tigers.
Dia juga bersetuju kehadiran penyokong tempatan dapat memberikan semangat kepada pemain untuk mempamerkan aksi terbaik.
“Malaysia mampu untuk mara secara merit ke pusingan akhir nanti. Kita percaya dengan setiap kemampuan pemain dalam memastikan kemenangan pada malam ini,” tambahnya lagi.
Kedudukan Sementara Runner-up Terbaik Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023
1. Thailand 6 mata (Layak)
2. Kyrgyzstan 6 mata (Layak)
3. India 6 mata (Layak)
4. Filipina 4 mata (Layak)
5. Malaysia 3 mata (Layak)
6. Indonesia 3 mata (Tidak Layak)