PENGENDALI sementara Selangor FC, Mohamad Nidzam Jamil mengakui keputusan positif yang dilakar berpunca daripada peminat yang tetap memberikan sokongan meskipun skuad kendaliannya tewas berturut-turut sebelum ini.

Dua kali ungkapan penyokong diluahkan Nidzam Jamil jelas menunjukkan betapa pentingnya aura penyokong kepada pasukan Gergasi Merah.

Dia turut berharap sikap tersebut akan diteruskan dalam perlawanan seterusnya bagi mengembalikan keyakinan penyokong terhadap pasukan Selangor FC yang dilihat sedikit kembali menemui rentak mereka biarpun belum pada tahap maksimum.

“Penyokong, penyokong. Kita tidak mahu kecewakan penyokong. Mereka sangat penting untuk kami. Kami akan main untuk mereka.

“Sekarang ini mengenai penyokong, kita perlu bermain dengan baik untuk mendapatkan keputusan untuk mengembalikan penyokong di belakang kita.

“Ia bukan mengenai saya. Ia mengenai bagaimana kita mahu menukar latihan kita kepada perlawanan untuk mendapatkan keputusan dengan prestasi yang baik.

“Saya percaya pemain buat yang terbaik demi penyokong. Sikap yang baik ini saya harap kita akan terus dapat dan berjaya membina keyakinan penyokong untuk ada di belakang kita sekali lagi,” ujar Nidzam Jamil semasa sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Sementara itu, pengendali Johor Darul Takzim (JDT) FC, Hector Pablo Bidoglio menjelaskan punca pasukannya gagal mendapat tiga mata penuh pada malam ini adalah kerana pasukan Selangor FC tampil dengan corak permainan agresif.

Jelasnya, perkara tersebut telah menyebabkan mereka gagal mempamerkan aksi normal mereka semasa berhadapan dengan pasukan lain.

Biarpun begitu, Hector yakin Johor Darul Takzim berada pada landasan terbaik untuk menjadi juara liga namun keputusan malam ini bakal menjadi pelajaran terbaik buat skuad kendaliannya untuk tidak memandang rendah mana-mana pasukan.

“Saya percaya hari ini, kita tidak boleh menang kerana pasukan Selangor begitu agresif. Kita tidak boleh bermain cara sebenar kita bermain bola sepak.

“Kita tahu ia akan jadi permainan yang sukar sebelum kami datang sini. Ia sukar, namun kita harus perbaiki dan bekerja lebih keras. Perlawanan malam ini mengajar kita supaya terus memberi fokus kepada perlawanan akan datang.

“Kita berada di jalan yang terbaik. Pemain berusaha begitu keras. Kita harus teruskan dan kita tidak boleh mengalah disebabkan keputusan malam ini. Saya percaya kita kena teruskan dan berjuang untuk perlawanan seterusnya,” katanya.